Kiriman pada: Wed, Jul 8th, 2015

Peguam Negara Sahkan Tiada Akaun Perdana Menteri Yang Di bekukan

Kongsi maklumat ini
Tags

Gani-Patail_600Kuala Lumpur – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menekankan kebimbangannya berhubung pembocoran dokumen berkaitan dengan suatu siasatan jenayah yang sedang dijalankan dan meminta supaya siasatan penuh dibuat ke dalam perkara itu. Kebimbangan itu turut disokong oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau mengambil maklum bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel ‘Wall Street Journal’, “Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib” bertarikh 7 Julai 2015 merupakan hal perkara suatu siasatan dan menekankan kepentingan menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan di kalangan orang awam.

Gani Patail menekankan bahawa ini bukan persoalan “whistle-blowing” kerana perkara yang berkenaan sudah dalam siasatan. Suatu lagi isu yang membimbangkan adalah bahawa dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri.

Beliau juga memperjelas bahawa perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai 2015 tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai oleh Perdana Menteri.

Turut menyatakan kebimbangannya tentang sindiran dan pengataan yang telah dibuat yang mengaitkan Peguam Negara dengan agenda politik tertentu. Gani Patail menekankan bahawa tujuan Pasukan Petugas Khas antara agensi itu ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan.

Gani Patail menekankan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana orang yang didapati telah membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan kerana adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah masing-masing seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana orang yang mempunyai akses kepada apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubungan dengan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan suatu institusi kewangan, termasuk institusi kewangan itu atau mana-mana orang yang ialah atau pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan itu, untuk mendedahkan kepada seorang lain apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubungan dengan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan institusi kewangan itu.

Adalah juga menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah seksyen 203A Kanun Keseksaan untuk mana-mana orang menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehinya pada melaksanakan tugasnya atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan untuk mana-mana orang yang mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang dia tahu telah dizahirkan dengan melanggar undang-undang untuk selanjutnya menzahirkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.