Kiriman pada: Mon, Jul 6th, 2015

Pekerja tidak stres jika majikan tahu hargai mereka

Kongsi maklumat ini
Tags

lam thyeKUALA LUMPUR: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) , Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan agar semua organisasi perlu mengambil kira isu stres yang berkaitan dengan pekerjaan.

Tegasnya, ia harus dilihat sebahagian daripada risiko-risiko psikososial sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan untuk mengurangkan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja.

“Majikan perlu bertanggungjawab untuk melaksanakan rancangan bagi mencegah atau mengurangkan risiko-risiko psikososial agar membolehkan pekerja memainkan peranan dalam membantu mewujudkan persekitaran kerja psikososial yang sihat.

“Pengurusan stres dan risiko psikososial di tempat kerja akan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat di mana pekerja berasa dihargai dan akhirnya budaya di tempat kerja akan menjadi lebih positif. Akhirnya produktiviti dan prestasi perniagaan akan menjadi bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, walaupun banyak faktor yang menyumbang kepada kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja, terdapat bukti yang signifikan bahawa persekitaran tempat kerja adalah salah satu daripada puncanya.

“Dalam persekitaran psikososial yang baik, kerja boleh memberikan manfaat kepada kesihatan mental pekerja, memberikan mereka rasa yang lebih besar dalam penyertaan sosial, identiti dan status, serta peluang untuk pembangunan dan meningkatkan keyakinan,” jelasnya.
Sebaliknya ujar Lam Thye, persekitaran psikososial kerja yang buruk boleh memberi kesan negatif yang signifikan ke atas kesihatan pekerja.

Katanya lagi, terdapat lima kategori hazard kesihatan yang dikenal pasti di tempat kerja iaitu fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial.

“Stres tergolong di bawah kategori psikososial. Setiap pekerja menghabiskan kira-kira satu pertiga daripada kehidupan seharian mereka di pejabat atau di tempat kerja.
“Isu di tempat kerja adalah merupakan salah satu penyumbang utama kepada kemurungan. Walau bagaimanapun, isu ini sering diabaikan terutamanya oleh pihak majikan.

“Pekerja mungkin tidak mengenali simptom awal, terutamanya jika mereka mengalami kemurungan yang sederhana seperti keletihan dan dysthymia,” tegasnya.

Dalam pada itu kata Lam Thye, kesan terhadap masalah kesihatan mental pekerja, keluarganya dan masyarakat secara keseluruhan adalah amat besar dan perlu ditangani dengan baik.

“Adalah penting kebahagiaan dan kesejahteraan pekerja dan keluarga mereka dapat dipastikan melalui inisiatif meningkatkan kesihatan mental yang baik di tempat kerja.

“Isu-isu kesihatan mental di tempat kerja perlu diberikan perhatian yang serius kerana produktiviti kakitangan di setiap organisasi adalah bergantung kepada kesihatan mental mereka,” katanya.

Lam Thye juga meminta majikan sedar bahawa pengabaian terhadap kesihatan mental dan faktor-faktor psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja tersebut malah akan memberi kesan langsung kepada produktiviti, kecekapan dan keuntungan di mana-mana organisasi.

“Status kesihatan mental pekerja yang merosot boleh memberi kesan kepada prestasi pekerja, sakit yang kerap, ketidakhadiran, kemalangan dan pertukaran kakitangan.

“Isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan mental di tempat kerja juga mempunyai kesan langsung ke atas semua pihak yang berkepentingan di tempat kerja termasuk majikan, pelanggan dan masyarakat yang berada di sekitarnya.

“Tiada satu pun tempat kerja yang kebal daripada masalah gangguan mental. Impak dari segi psikologi, sosial dan ekonomi adalah tinggi,” jelasnya.

Katanya lagi, kepentingan kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan sebaliknya perlu diberi perhatian sewajarnya dalam pelbagai perkara di mana-mana organisasi.

“Apabila membincangkan isu-isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, perkara berkaitan kesihatan mental di kalangan pekerja tidak boleh diabaikan.

“Promosi kesihatan di tempat kerja adalah amat penting dan ia memerlukan gabungan usaha di antara majikan, pekerja dan kerajaan untuk bekerjasama bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan orang-orang di tempat kerja.

“Tempat kerja memberi kesan langsung dalam mempengaruhi fizikal, mental, ekonomi dan sosial pekerja dan seterusnya akan mempengaruhi kesihatan keluarganya, komuniti dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Sementara itu ujar Lam Thye, konsep bagi mempromosikan kesihatan di tempat kerja semakin menjadi relevan apabila makin ramai organisasi awam dan swasta menyedari bahawa kejayaan di masa depan dalam pasaran globalisasi hanya boleh dicapai dengan tenaga kerja yang sihat, berkelayakan dan juga bermotivasi.

“Pelaksanaan promosi kesihatan di tempat kerja boleh memastikan keseimbangan yang fleksibel dan dinamik di antara jangkaan pelanggan, sasaran organisasi dan kemahiran serta keperluan kesihatan pekerja, yang mana ia boleh membantu syarikat-syarikat dan organisasi untuk bersaing di pasaran.

“Bagi sesebuah negara, pembangunan terhadap promosi kesihatan di tempat kerja akan menjadi pra-syarat untuk pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan,” jelasnya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.