Kiriman pada: Tue, Jan 19th, 2016

Pekin rancang sambungan Mat Moto 2

Kongsi maklumat ini
Tags

moto02.transformed_2KUALA LUMPUR: Meraih kutipan RM3 juta dalam tempoh empat hari, ia boleh disifatkan sebagai kejayaan dan permulaan positif buat filem Mat Moto arahan sulung Pekin Ibrahim. Menggabungkan nama besar seperti Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Faizal Hussein, Datuk Rosyam Nor dan dirinya sendiri sebagai pelakon, filem yang turut mendapat sentuhan Syafiq Yusof itu nyata mampu menarik penonton ke panggung. Tidak menyangka naskhah berdasarkan skrip tulisannya mendapat sokongan ramai, ketika pasaran filem tempatan dilihat kurang menentu, Pekin berkata kejayaan dicatatkan Mat Moto menjadi penyuntik semangat untuk beliau menghasilkan judul susulan yang dijangka memulakan penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. “Sewaktu membikin filem ini, saya mempunyai sedikit keyakinan kerana ia dibantu oleh nama hebat dalam industri seperti Syafiq dan pengarah fotografi, Raja Mukhriz (Raja Ahmad Kamaruddin). “Saya percaya, dengan bantuan mereka, karya sulung saya ini tidak akan memalukan diri sendiri. Bahkan, melihat sambutan terhadap filem berteraskan motosikal sebelum ini mampu membuat pungutan antara RM3 hingga RM4 juta, maka saya sangat optimis,” katanya. Pekin turut menjelaskan, Mat Moto ialah sebuah filem berbentuk drama, bukan aksi seperti yang dianggap sesetengah penonton. “Sejak penggambaran filem ini dimulakan pada Hari Raya pertama, tahun lalu, kami sudah menetapkan minda ia bukan filem aksi. Sebaliknya, kami jadikan ia sebagai ‘road movie’. Garapan dan penceritaannya juga sangat santai. Tetapi, ada penonton tidak boleh terima cara itu dan mengharapkan ia akan menjadi karya aksi. “Begitupun jangan risau, bagi susulannya nanti, ia akan digarap sebagai filem aksi. Kita akan sajikan apa yang penonton mahukan,” katanya sambil mengaku sudah lama mengidam untuk duduk di kerusi pengarah selepas mengutip pengalaman berlakon sejak 1998. Mat Moto dihasilkan dengan modal RM1.3 juta dan menjalani penggambaran selama 23 hari di sekitar ibu kota, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.