Kiriman pada: Sat, Jan 21st, 2017

Pelampau Agama Musuh Perpaduan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak melabelkan golongan pelampau agama sebagai musuh kepada perpaduan nasional, sekali gus perlu ditolak oleh rakyat yang mengimpikan keamanan dan kestabilan negara.

Perdana Menteri berkata, ekstremisme tidak seharusnya dikaitkan dengan agama dan tidak menjadi masalah untuk mana-mana rakyat menganuti agama di negara yang berbilang kaum.

“Bukan menjadi satu masalah kalau kita menganuti apa juga agama. Masalahnya ialah jika kita termasuk dalam golongan ekstremisme.

“Kita ada Muslim yang berada dalam golongan pelampau seperti IS dan Daesh, kita ada penganut Budda yang ekstrem seperti di Rakhine, Myanmar, kita ada golongan pelampau Kristian dan Yahudi.

“Golongan pelampau dalam beragama adalah musuh kepada perpaduan negara,” katanya ketika berucap pada program Detik-Detik Perpaduan di Taman Botani, Perdana, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyertai senamrobik pagi perpaduan bersama lebih 4,000 peserta Detik-Detik Perpaduan. Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.Objektif penganjuran Detik-Detik Perpaduan adalah untuk memupuk perpaduan nasional dan menjunjung prinsip Rukun Negara.

Pada majlis itu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, diumumkan Ikon Perpaduan.

Selaku Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab untuk menentukan setiap rakyat dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan harmoni.

Bagaimanapun, kata Datuk Seri Najib, tanggungjawab untuk memastikan keamanan dan keharmonian itu berkekalan bukan hanya terletak pada bahunya, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat.

“Apabila saya bertanya kepada orang muda untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan berhubung Transformasi Nasional 50 (TN50), ramai yang sebut antara impian mereka ialah supaya mereka dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan harmoni.

“Lafaz ikrar Rukun Negara juga perlu diterjemahkan kepada tindakan dan perbuatan.

“Tiada makna kalau lafaz walau seindah kata-kata dan ungkapan tetapi tidak diikuti dan disusuli dengan tindakan. Tingkah laku mencerminkan apa yang kita luahkan menjadi pegangan dan amalan.

“Kita perlu membudayakan tema Detik-Detik Peraduan untuk menjamin kelangsungan perpaduan yang berterusan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui media berkata, agenda perpaduan nasional perlu disokong oleh semua masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.