Kiriman pada: Thu, Dec 10th, 2015

Pelan Rasionalisasi 1MDB Dalam Proses Penyelesaian

Kongsi maklumat ini
Tags

UMNO2015KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjalan dengan baik dan dalam proses penyelesaian.

Sebagai bukti, Presiden UMNO itu berkata penjualan syarikat Edra Global Energy Bhd telah berjaya mengurangkan hutang 1MDB sebanyak RM17 bilion.

“Ini membuktikan pelan rasionalisasi 1MDB sedang berjalan dengan baik,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam ucapan beliau yang bertajuk ‘UMNO: Menyempurnakan Sebuah Perjuangan’, Najib berkata, beberapa pengumuman lain akan menyusul, yang sekali gus akan menyakinkan rakyat mengenai kesungguhan kerajaan dalam memastikan pelan rasionalisasi syarikat itu berjalan lancar.

Pada 23 Nov, 1MDB, Edra dan anak syarikatnya memeterai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group, yang membentuk konsortium dengan syarikat Qatar Nebras Power; untuk menjual 100 peratus pemilikan dalam semua aset tenaganya.

Aset-aset tenaga yang terlibat ialah Edra Solar Sdn. Bhd., Edra Energy Sdn. Bhd., Powertek Energy Sdn. Bhd., Jimah Teknik Sdn. Bhd., Jimah O (amp) M Sdn. Bhd., Mastika Lagenda Sdn. Bhd. dan Tiara Tanah Sdn. Bhd. (syarikat operasi Edra).

CGN Group akan membayar dalam tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra berjumlah hampir RM8 bilion, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015.

Transaksi berkenaan dijangka selesai pada Februari depan.

Selain penjualan ekuiti dalam syarikat tenaga Edra, pelan rasionalisasi 1MDB termasuk pelaksanaan pertukaran hutang dengan ekuiti, dengan syarikat pelaburan petroleum dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak kira-kira RM16 bilion.

Selain itu, 1MDB turut mengemukakan pelan penjualan ekuitinya di Bandar Malaysia bernilai kira-kira RM11 bilion.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengulangi kenyataan bahawa dana RM2.6 bilion yang diperolehnya merupakan wang derma dari luar negara dan bukannya diambil daripada 1MDB.

“Saya juga telah menjelaskan dengan terperinci kepada para perwakilan semasa taklimat Presiden (Selasa).

“Yang mustahak saya yakin, saya berada di pihak yang benar, dan kebenaran akan terbukti juga,” kata Najib.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.