Kiriman pada: Mon, Aug 24th, 2015

Pelan Transformasi KKLW Dirangka

Kongsi maklumat ini
Tags

ISMAIL SABRI YAAKOB / SIDANG MEDIAPutrajaua – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedang merangka pelan transformasi bagi memperkukuh peranannya dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar sejajar dengan arus perubahan, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya pelan pembaharuan yang dirangka ketua-ketua jabatan, agensi dan bahagian di bawah KKLW itu bakal diumumkan semasa genap 100 hari beliau menerajui kementerian tersebut.

Antara yang diberi tumpuan ialah peranan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta pembaharuan silibus pembelajaran Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), katanya.

“Waktu dahulu, mungkin apa yang dilakukan kementerian ini sesuai pada waktu itu. Walaupun dikira sudah lengkap dari segi perancangan (kementerian) tetapi tidak bermakna perubahan tidak boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian dan merasmikan kempen kibar Jalur Gemilang.

Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menggantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang digugurkan dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lepas.

Katanya beliau memberi kepercayaan kepada ketua-ketua jabatan, agensi dan bahagian untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan untuk diperhalusi memandangkan mereka lebih arif dengan kehendak dan pembaharuan yang diperlukan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.