Kiriman pada: Mon, Dec 21st, 2015

Pelanggan puas hati harga gajet di MARA Digital

Kongsi maklumat ini
Tags

TINJAUAN PENGUNJUNG MARA DIGITAL MALLKuala Lumpur: Pembukaan pusat jualan gajet dan peralatan teknologi maklumat (IT) milik Bumiputera, MARA Digital sejak hampir dua minggu lalu menunjukkan perkembangan positif dan sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang menyifatkan harga barangannya lebih murah serta berpatutan.

Tinjauan wartawan di premis di tingkat tiga Menara MARA, Jalan Raja Laut di sini, semalam mendapati ratusan pengunjung merangkumi pelbagai lapisan usia dan bangsa memilih lokasi itu untuk menghabiskan cuti hujung minggu membeli-belah bersama keluarga.

Selain mempunyai banyak pilihan, rata-rata mereka menganggap harga jualan telefon bimbit dan komputer riba lebih murah berbanding premis lain serta perlu terus dikekalkan untuk menjaga kebajikan pengguna terutama yang berpendapatan rendah.

Namun, faktor lokasi baru menyebabkan ia masih memerlukan penambaikan terutama dari aspek promosi dan kemudahan sampingan lain setanding dengan pusat jualan utama lain yang berada di sekitar ibu kota.

Kakitangan swasta, Mustafa Mat Roslan, 40, yang kali pertama mengunjungi MARA Digital berkata, dia berpuas hati dengan harga jualan gajet di situ yang disifatkan lebih murah dan terkawal berbanding premis lain.

“Orang ramai tidak boleh membuat perbandingan ketara dengan lokasi sedia ada lain kerana pusat gajet ini masih baru dan belum dikenali sepenuhnya. Bagaimanapun, saya mendapati harga jualan barangan masih berpatutan dan mengikut nilai pasaran ketika ini.

“Selain kualiti dan keaslian produk, kami sebagai pengguna mengutamakan faktor harga yang lebih murah bagi mengelak berlaku penipuan,” kata bapa kepada tiga anak yang turut memuji aspek kekemasan susun atur lokasi itu.

MARA Digital yang menempatkan 38 usahawan Bumiputera dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Disember lalu dan dibuka bermula jam 10 pagi hingga 9 malam.

Penuntut universiti awam, Ahmad Nazeem Rahim, 26, memuji usaha kerajaan mewujudkan premis seumpama itu namun mengharapkan usaha promosi dipertingkatkan lagi bagi kemudahan pengunjung.

“Sebagai contoh, pihak berkaitan mungkin boleh memasang kain rentang atau papan tanda lebih besar untuk memberi panduan lebih jelas kepada umum terutama yang datang dari luar ibu negara. Selain itu, kemudahan seperti bank atau mesin juruwang automatik (ATM) mungkin perlu disediakan di situ,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.