Kiriman pada: Thu, Aug 13th, 2015

Pelantikan Pengerusi, Anggota J/kuasa Baharu PAC Pada Oktober Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

imageResizeKuala Lumpur – Pelantikan pengerusi dan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan dibuat selepas anggota Jawatankuasa Pemilih, yang bertanggungjawab melantik keanggotaan PAC, ditukar pada persidangan Parlimen Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman berkata pertukaran dan pelantikan anggota Jawatankuasa Pemilih akan dibuat pada hari pertama sidang Parlimen pada 19 Okt ini.

“Pelantikan pengerusi dan anggota Jawatankuasa PAC akan dilakukan sebaik sahaja pertukaran Anggota Jawatankuasa Pemilih selesai dilakukan.

“Selepas itu, PAC dapat meneruskan semua tugas yang diamanahkan kepada mereka termasuk prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tindakan itu dibuat selepas mengambil kira pertukaran jawatan Ketua Pembangkang dan penyusunan semula Jemaah Menteri pada 29 Julai lepas.

Azalina menegaskan kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja.

Katanya kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan anggota Jawatankuasa Pemilih yang merupakan jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC dalam konteks ini.

Kerajaan juga perlu mengambil kira beberapa faktor utama termasuk masa yang diperlukan untuk nama baharu dicadangkan bagi menggantikan beberapa anggota Jawatankuasa Pemilih, katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.