Kiriman pada: Sun, Feb 14th, 2016

Pelarian Syria Ke Malaysia Perlu Jalani Tapisan Keselamatan

Kongsi maklumat ini
Tags

zahidtpmShah Alam – Setiap pelarian Syria yang dibawa masuk ke Malaysia perlu menjalani tapisan keselamatan bagi memastikan mereka bukan anggota Daesh atau tidak terlibat dalam aktiviti militan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata proses tapisan itu dijalankan menerusi Sistem Tapisan Awal Penumpang (APSS) dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Kita ambil langkah ini untuk lihat latar belakang pelarian terutamanya jika ada dalam kalangan mereka yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dengan Daesh, umpamanya.

“Sudah pasti kita beri keutamaan kepada aspek keselamatan jika mereka ingin berada di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan skuter elektrik Mini MAD Velocifero Malaysia.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan untuk memastikan pelarian Syria yang masuk ke negara ini bukannya kalangan anggota militan Daesh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Oktober lepas mengumumkan Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bagi peringkat pertama, sebanyak lima keluarga pelarian Syria telah berada di Malaysia dan kerajaan dalam proses membawa masuk kumpulan kedua pelarian itu.

“Kita akan utamakan pelajar Syria di Malaysia yang berhasrat membawa keluarga mereka ke negara ini, keluarga pekerja Syria yang telah bekerja di Malaysia seperti chef yang bekerja di restoran dan keluarga golongan profesional seperti doktor perubatan atau yang terlibat dalam bidang kejuruteraan,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.