Kiriman pada: Mon, Aug 24th, 2015

Pelbagai Acara Meriahkan Sambutan Jubli Emas Masjid Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

MASJID NEGARAPutrajaya – Sambutan Jubli Emas Masjid Negara pada 27 hingga 29 Ogos ini yang bertemakan ‘Memancar Syiar Mengukuh Perpaduan’ akan dimeriahkan dengan pelbagai acara bagi menarik perhatian generasi muda pasca merdeka untuk mengimarahkan masjid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sambutan 50 tahun itu dirancang bagi memartabatkan Masjid Negara sebagai institusi masjid terulung di negara ini, selain menjadi yang terbaik dalam aspek pengurusan, kemudahan prasarana dan persekitaran indah.

“Kita juga mahu memperkukuhkan lagi usaha penambahbaikan keupayaan Masjid Negara dalam menarik lebih banyak pelancong bagi menjayakan sektor pelancongan Islamik di Malaysia,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata Syiling Peringatan Jubli Emas Masjid Negara dan setem khas akan dijual di tapak ekspo sepanjang sambutan jubli emas itu.

Jamil Khir berkata pembelian syiling boleh dibuat di gerai pameran Bank Negara Malaysia (BNM) dengan harga RM1,908 bagi syiling emas, syiling perak RM212 dan syiling nordic (campuran zink, aluminium dan kuprum) RM10.60.

Sementara, setem khas berharga 70 sen, 80 sen dan RM1 boleh dibeli di gerai pameran Pos Malaysia.

Selain itu, Forum Perdana Khas bertajuk ‘Rapatkan Saf’ akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pada 27 Ogos dari 9 hingga 10.30 malam.

Pada 28 Ogos, khutbah khas akan disampaikan oleh imam yang dijemput dari Mekah serta kempen derma darah.

Pada hari terakhir sambutan, acara yang diadakan termasuk program tadabbur Al-Quran, perasmian Jam Matahari Masjid Negara dan kembara belia ke Masjid Negara.

Jamil Khir berkata kerajaan memperuntukkan RM11 juta untuk kerja-kerja membaik pulih kerosakan dan menambah baik kemudahan Masjid Negara.

Masjid Negara siap dibina pada 27 Ogos 1965 dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Ia dibina sebagai ‘tanda peringatan negara mencapai kemerdekaan’ yang diputuskan oleh pemimpin kerajaan sebulan sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.