Kiriman pada: Sun, Feb 5th, 2017

Pembangkang Cuma Ghairah Nak PRN

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Belud – Pembangkang di Sabah hanya ghairah menunggu Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi tidak memiliki dasar jelas untuk mentadbir negeri lebih baik berbanding apa yang telah dilakukan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata rakyat Sabah perlu tahu apa perancangan pembangkang untuk memajukan negeri ini melalui pelbagai dasar berkaitan ekonomi, sosial dan pendidikan.

Katanya, dalam usaha menubuhkan sebuah kerajaan, ia bukan sekadar menamakan seseorang sebagai bakal ketua menteri dan memburuk-burukkan kerajaan, sebaliknya mesti disertakan dengan hala tuju dan perancangan jelas untuk rakyat menilainya.

“Apabila mendengar kenyataan pembangkang, tiada satu pun bersifat dasar, tidak seperti kerajaan BN di Sabah yang ada dasar jelas misalnya dalam pendidikan dan ekonomi, tetapi pembangkang tiada dan bagaimana rakyat nak uji kemampuan mereka.

“Saya kecewa cara pembangkang untuk mendapat undi ialah apabila kata orang sebelah sana (BN) tak baik, kalau nak tawan hati rakyat kena datang dengan dasar ekonomi, pendidikan dan sosial.

“Sebagai pemimpin BN, saya akan ulas dasar mereka, baru kita tahu dan amal politik sihat,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Pesta Ang Pau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa, di sini, malam tadi.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata berdasarkan keyakinan disuarakan pemimpin BN dan pembangkang, beliau berpendapat tiba masanya mandat diberi semula kepada rakyat Sabah melalui PRN.

“Kalau pembangkang setuju dan mengalu-alu (PRN), jadi tiada lagi spekulasi kerana kalau ada pilihan raya masing-masing (BN dan pembangkang) sudah sedia.

“Bagi BN, kerja kita tak putus selama empat tahun (sejak 2013), sentiasa bersama rakyat, (jadi) kita mahu kembali kepada rakyat supaya mereka beri signal yang kuat kepada BN untuk terus memerintah.

“Di Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, kita ada perancangan dan pelan untuk memajukan negeri, ekonomi Sabah berkembang, saya beranggapan kalau pembangkang pun kata dah sedia nak PRN, ayuh tiada masalah,” katanya.

Baru-baru ini, pemimpin BN dan pembangkang di Sabah masing-masing menyatakan kesediaan untuk berdepan PRN yang dijangka diadakan pada April atau Mei ini, lebih awal daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.