Kiriman pada: Mon, Nov 14th, 2016

Pembinaan Fasa Pertama Projek MRT Siap Ikut Jadual

Kongsi maklumat ini
Tags

siapKuala Lumpur – Penyiapan Fasa pertama projek Transit Aliran Massa (MRT) MRT Laluan 1 Sungai Buloh – Kajang (SBK) yang bakal memulakan operasinya pada 16 Disember tahun ini merupakan pencapaian yang membanggakan kerana ia berjaya memenuhi syarat jadual dan lingkungan bajet yang ditetapkan oleh Kerajaan.

“Ini bukan sahaja merupakan pencapaian yang membanggakan, tetapi juga membuktikan kepentingan yang diberikan dalam memastikan keperluan rakyat diutamakan, mengatasi segala kepentingan yang lain,” kata YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Dengan pelaksanaan projek MRT ini juga, selain daripada memantapkan lagi pengangkutan awam darat di negara ini, ia akan turut membuka peluang perniagaan yang baru sekaligus akan meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia. Tambang MRT Laluan 1 ini telahpun dipertimbang dan diluluskan oleh Kabinet dan akan diumumkan dalam masa yang terdekat oleh Prasarana, iaitu pengendali perkhidmatan MRT ini,” ulas beliau.

Sebanyak 120 buah bas perantara (feeder bus) akan disediakan melalui 26 laluan di sekitar 12 stesen yang akan beroperasi untuk fasa satu, iaitu dari stesen Sungai Buloh hingga Stesen Semantan. Secara umumnya, reaksi rakyat terhadap Projek MRT Laluan 1 ini semakin positif kerana mereka melihat projek itu bukan sahaja membantu penghuni di Kuala Lumpur dari segi pengangkutan awam darat, malah dari segi peningkatan nilai hartanah yang begitu ketara terutamanya di kawasan yang terdapat stesen MRT.

Kira-kira 400,000 orang dianggarkan akan menggunakan laluan MRT Sungai Buloh – Kajang (SBK) sebaik sahaja laluan SBK mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017. Di samping itu, apabila laluan MRT Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya (SSP) mula beroperasi pada tahun 2022, dianggarkan 529,000 pengguna akan menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Mempertingkatkan pengangkutan awam darat di bandar merupakan salah satu cabang utama di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Disebabkan potensinya yang begitu signifikan untuk memperkukuh pembangunan sosioekonomi, Kerajaan tetap komited untuk memperuntukkan pelaburan yang besar bagi membina infrastruktur dan membangunkan dasar pengangkutan awam darat yang mapan.

Malah, manfaat ekonomi daripada pengangkutan awam darat begitu ketara sehinggakan salah satu projek utama iaitu pembinaan sistem MRT telah disenaraikan sebagai salah satu projek penting dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk Greater Kuala Lumpur/Lembah Kelang.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.