Kiriman pada: Sat, Feb 4th, 2017

Pemilihan Jamilah Bukan Mahu Undi Simpati

Kongsi maklumat ini
Tags

Raub – Pemilihan Datuk Amar Jamilah Anu sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu bukan bertujuan mendapatkan undi simpati, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebaliknya kata beliau, balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem itu adalah calon terbaik berdasarkan kelayakan dan penerimaan baik akar umbi yang merupakan faktor terpenting bagi memastikan kemenangan BN.

“Ini bukan isu undi simpati kerana dari dahulu lagi beliau (Jamilah) sudah rapat dengan orang di sana dan sudah bergerak bersama-sama jentera arwah termasuk pada pilihan raya negeri lalu.

“Bagi saya beliau adalah calon paling layak,” kata Hishammuddin kepada pemberita semasa ditemui pada majlis perkahwinan anak lelaki Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin di Simpang Kallang, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan seterusnya membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa pemilihan balu wakil rakyat sebagai calon PRK trend baharu BN.

“Kita letak calon yang boleh diterima pengundi di sana,” katanya. Pada masa sama Hishammuddin mengingatkan jentera BN agar tidak mengambil mudah PRK itu walaupun menang besar pada pilihan raya negeri Mei tahun lalu.

“Saya sendiri akan turun untuk memastikan momentum dan mesej yang disampaikan pada pilihan raya negeri lalu diteruskan,” katanya.

PRK Tanjong Datu pada 18 Februari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Jamilah, calon daripada Parti Reformasi Negeri (STAR), Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit.

PRK itu diadakan ekoran kematian Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Pada pilihan raya negeri lalu, Adenan, 72, mengatasi calon PKR Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.