Kiriman pada: Tue, Oct 4th, 2016

Pemimpin Masyarakat Perlu Letak Jawatan Jika Tidak Bersama UMNO

Kongsi maklumat ini
Tags

ISMAIL MOHAMED / SUMBANGAN PEPERIKSAAN SEKOLAHPagoh – Semua ketua kampung, jawatankuasa perwakilan penduduk (JPP), ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) yang sudah tidak mahu bersama kepemimpinan parti diminta melepaskan jawatan secara sukarela.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, ini kerana semua jawatan terbabit adalah berdasarkan lantikan UMNO dan tindakan itu perlu dilakukan sekiranya terdapat di antara mereka yang sudah tidak mahu bersama parti.

“Kita nak mewujudkan ahli parti yang setia kerana mereka ini sahajalah yang akan bersama-sama bangun dan gilapkan parti. Kita tetap yakin masih ramai yang akan setia bersama UMNO.

“Bagaimanapun, kita tahu ada yang sudah mahu bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), teruskan perjuangan mereka tetapi mereka harus meletakkan jawatan serta jangan jadi seperti ‘musang berbulu ayam’ dan jangan ganggu perjuangan UMNO untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan peperiksaan untuk sekolah dalam Parlimen Pagoh dan sumbangan kepada ketua kampung sempena Hari Sukan Negara 2016 di Kompleks Seri Pekembar di sini, hari ini.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, UMNO Pagoh akan terus bekerja kuat dan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat secara keseluruhannya.

Ditanya mengenai ura-ura bekas Ketua UMNO Bahagian Pagoh yang juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mungkin berpindah dan bertanding di kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Ismail berkata, ia tidak menjamin kemenangan UMNO di Pagoh kerana ia dipengaruhi banyak faktor.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.