Kiriman pada: Tue, Dec 8th, 2015

Pemimpin UMNO tidak seharusnya guna platform luar kritik kepemimpinan

Kongsi maklumat ini
Tags

UMNO 2015KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO tidak seharusnya menggunakan platform luar parti sebagai ruang untuk mengkritik kepemimpinan kerana ia boleh memberi implikasi buruk kepada nasib dan masa depan parti. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jika mahukan sebuah organisasi yang kukuh, semua pemimpin di semua peringkat seharusnya memastikan tidak berlakunya serpihan dalam UMNO. “Jangan ada serpihan di dalam parti supaya parti terus kukuh. Tidak perlu menjadikan satu perjumpaan lain di tempat lain dengan satu kumpulan yang lain dengan pemikiran lain dan dengan orang yang pernah diberikan sokongan dan dokongan yang lain. “Ini kerana tidak ada kumpulan dalam UMNO, tidak ada kumpulan yang menyokong itu dan ini. Kita adalah ahli UMNO yang bersatu,” katanya dalam ucapan ketika menutup Pertandingan Akhir Pidato Piala Presiden UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini. Seramai 15 pemidato menyampaikan syarahan pada pertandingan itu. Ia diadili barisan juri iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan. Dalam ucapan sama, Zahid turut menyatakan bahawa UMNO ketika ini sedang berhadapan dengan cabaran dan ia memerlukan seorang pemimpin yang istikomah dan kuat dalam mendepani segala ujian itu. Justeru sebagai ahli dan pemimpin, beliau mahu dokongan terus diberikan kepada Presiden, Datuk Seri Najib Razak bagi membolehkan cabaran yang ada ketika ini ditempuhi. Selesai menyempurnakan majlis itu, Zahid kemudian merasmikan Laman Media UMNO, bersebelahan Dewan Tun Dr Ismail yang menjadi lokasi 1,453 pengamal media berkampung bagi membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrul Hisham Othman serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.