Kiriman pada: Mon, Mar 16th, 2015

Pemuda Umno Gesa JAWI Bertindak Adil Dalam Pendakwaan

Kongsi maklumat ini
Tags

Logo Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)Kuala Lumpur – Keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk meneruskan pendakwaan terhadap pengurus kedai buku rangkaian Borders Midvalley, Nik Raina Nik Abdul Aziz dalam kes penjualan buku kontroversi Allah, Kebebasan dan Cinta karya Irshad Manji ditentang oleh Exco Pemuda Umno Malaysia, Ibdillah Ishak.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ibdillah menegaskan supaya pendakwaan dapat dilakukan dengan adil dan bukannya bertujuan untuk menakut-nakutkan.

“Saya menentang keputusan JAWI untuk mendakwa semula pengurus kedai buku rangkaian Borders Midvalley, Nik Raina Nik Abdul Aziz dalam kes penjualan buku kontroversi Allah, Kebebasan dan Cinta karya Irshad Manji.

“Pendakwaan harus adil bukan sekadar mahu menakutkan pihak lain atau mahu menunjukkan kekuatan mereka. Janganlah kerana mencari jalan mudah, pengurus yang menjadi mangsa atas kesalahan pihak Lembaga Pengarah syarikat.

“Umum ketahui bidang kuasa Jawi hanya ke atas orang Islam maka Jabatan tersebut mengambil keputusan mendakwa pengurus kedai buku tersebut bukannya syarikat Borders sendiri.

“Persoalannya, mengapa Jawi tidak mendakwa salah seorang muslim dalam Lembaga Pengarah Berjaya Books yang memegang pengurusan francais rangkaian kedai buku Borders ini jika sekalipun mereka mahu mendakwa juga?” ujar beliau.

Tambah Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda Umno Malaysia itu lagi, tindakan JAWI itu telah menimbulkan banyak persoalan selain mengundang perasaan benci orang ramai terhadap Islam sendiri.

Justeru beliau menggesa jabatan itu supaya kembali kepada amalan wasatiyyah di dalam dakwahnya.

“Sungguhpun Jawi mengisytiharkan haram lebih awal dari tarikh tangkapan, apakah pihak Jawi telah beri notis mencukupi kepada semua kedai buku?

“Ini menimbulkan banyak persoalan tentang motif Jawi? Adakah badan ini mahu menegakkan agama Islam atau mewujudkan perasaan benci orang ramai terhadap Islam sendiri?

“Cukuplah Jawi, tak perlu dipanjangkan lagi. Lebih elok jika JAWI teruskan dakwahnya berpaksikan amalan Wasatiyyah (Kesederhanaan) .

“JAWI perlu tahu membezakan bidang kuasa Nik Raina sebagai Pengurus Kedai tersebut, tugas beliau bukan untuk menjaga buku-buku yang dijual, tetapi sebagai pengurus, bidang kuasanya adalah untuk menjaga operasi,” tegas beliau.

Untuk rekod, JAWI pada Mac 2012 lalu telah melakukan serbuan dan menahan seorang pengurus stor kedai buku Borders di pusat beli-belah The Gardens Mall, Mid Valley atas tuduhan menyebarkan buku tulisan penulis kontroversi, Irshad Manji yang bertentangan dengan hukum syarak Islam.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Syariah membebaskan beliau kerana berpendapat seorang pengurus bukanlah orang yang memutuskan apa buku yang boleh dijual atau tidak di rangkaian kedai buku terbabit.

Dan baru- baru ini Jawi memutuskan mahu terus mendakwa beliau atas kesalahan yang sama.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.