Kiriman pada: Mon, Jul 13th, 2015

Pengambilalihan Ekuiti Eagle High Beri Keuntungan Kepada FGV

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKPekan – Cadangan Felda Global Ventures (FGV) untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan ekuiti syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia, PT Eagle High Plantation daripada Rajawali Group, dijangka mampu memberi keuntungan jangka masa panjang kepada syarikat itu hasil penerokaan pasaran baharu di negara berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengambilalihan itu penting bagi membolehkan FGV mengukuhkan lagi perniagaan mereka dalam perladangan sawit, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan syarikat.

Katanya pelaburan di Indonesia dilihat sesuai memandangkan kedudukannya yang lebih dekat dengan Malaysia, selain mempunyai tanah yang lebih subur dan iklim yang sesuai.

“FGV mempunyai perancangan yang besar, jadi kita mesti mempunyai kawasan ladang yang luas. Namun FGV menghadapi masalah kekurangan tanah di Malaysia, sudah tidak ada tanah di negara untuk membuka ladang baharu.

“Kalau kita beli tanah di Kalimantan dan Papua New Guinea, tanahnya subur dan dapat menghasilkan pokok berkualiti yang mengeluarkan hasil yang baik, sekali gus memberi pulangan keuntungan yang tinggi,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan warga emas di Majid Felda Chini 5.

Beliau berkata selain itu, FGV juga akan memperoleh pendapatan tambahan hasil penjualan gula di negara itu memandangkan harganya lebih tinggi berbanding di Malaysia.

“Bayangkan sekiranya kita dapat menjual gula kepada lebih 200 juta penduduk di sana. FGV akan dapat keuntungan lebih dan dalam masa yang sama kita dapat membangunkan perusahaan hiliran di sana,” kata Perdana Menteri.

Namun dalam tempoh yang sama, Najib turut memberi jaminan kerajaan tidak akan terburu-buru, sebaliknya akan membuat penelitian lebih terperinci sebelum memuktamadkan cadangan pengambilalihan ladang berkenaan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.