Kiriman pada: Wed, Feb 8th, 2017

Pengarah, Isteri Ditahan SPRM Kes Salah Guna Kuasa

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan dan isteri serta dua pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk melantik kontraktor berkepentingan bagi menguruskan projek agensi itu.

Difahamkan, suspek berusia 54 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Bagan Lalang, Sepang kira-kira jam 12 tengah hari tadi manakala isterinya yang berusia 36 tahun ditahan di pejabat agensi terbabit, dalam operasi itu.

Sumber berkata, mereka dipercayai menyalahgunakan jawatan untuk menganugerahkan projek membekalkan peralatan untuk agensinya dengan melantik kontraktor tertentu sahaja.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek menerima sejumlah wang rasuah daripada kontraktor itu dengan harapan mereka akan dipilih semula untuk melaksanakan projek pada masa akan datang.

“Kontraktor yang dilantik juga dikatakan akan menggunakan nama beberapa syarikat berlainan ketika menghantar sebut harga untuk mengaburi jawatan kuasa pemilihan kontraktor.

“Berkemungkinan suspek mengetahui mengenai perkara itu dan akan menggunakan pengaruh dan jawatannya untuk memilih kontraktor terbabit,” kata sumber.

Beliau berkata isteri suspek adalah pembantu tadbir di agensi kerajaan itu.

Susulan penahan pasangan itu, SPRM Selangor menahan dua orang pemilik syarikat yang dipercayai telah menerima kontrak daripada pengarah terbabit.

“Kedua-duanya lelaki pemilik syarikat itu ditahan antara jam 8 pagi dan 3.30 petang tadi masing-masing di ALor Setar dan Shah Alam,” katanya.

Sumber berkata, SPRM sedang menyiasat semua projek yang telah diluluskannya sehingga kini.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan semua suspek akan direman esok untuk membantu siasatan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.