Kiriman pada: Sun, Dec 25th, 2016

Pengaruh Media Sosial Ancaman Baharu Perpaduan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Kinabalu – Pengaruh media sosial menjadi ancaman baharu perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk menyebarkan cerita tidak benar yang boleh menjejaskan keharmonian.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata pengguna media sosial perlu berhenti berkongsi cerita yang tidak disahkan kebenarannya kerana ia hanya membuatkan masyarakat berpecah-belah.

Katanya, masyarakat tidak boleh tunduk dan terpengaruh dengan ideologi yang bertujuan menyemai kebencian dan syak wasangka antara kaum dan budaya di negeri dan negara ini kerana keadaan itu hanya mensia-siakan pengorbanan orang yang berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara.

“Sesungguhnya kita tidak boleh mengambil mudah perpaduan dan keamanan yang kita kecapi hari ini. Ia memerlukan usaha dan keikhlasan semua untuk mengekalkan perpaduan dan mengukuhkannya.

“Akhir-akhir ini, kemajuan media sosial sedikit sebanyak mempengaruhi dan menjejaskan perpaduan serta keharmonian di Malaysia. Ada pihak tertentu menggunakan saluran itu untuk menyebarkan mesej yang mewujudkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

“Sebagai pengguna media sosial, menjadi tanggungjawab kita untuk berhenti berkongsi cerita yang tidak disahkan kebenarannya,” katanya dalam perutusannya sempena sambutan Krismas.

Sementara itu, Musa berkata kerajaan dengan sedaya upaya terus berkhidmat dan berjuang merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar serta membawa penambahbaikan dan kemajuan kepada mereka yang memerlukan, kerajaan juga berusaha memastikan tiada yang tertinggal dalam usaha memajukan negeri ini.

“Suka saya menyatakan bahawa kita telah mencapai kejayaan dalam mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan setiap kawasan di negeri ini. Kini, kita berusaha membina Sabah dengan mewujudkan kehidupan yang lebih baik untuk semua. Marilah kita bersama menyumbang kepada negeri, negara dan rantau ini,” katanya.

Walaupun negara berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tetap berusaha memperbaiki kehidupan dan mengurangkan impak kos sara hidup yang lebih tinggi, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan mengambil berat keperluan dan kepentingan setiap rakyat selain tidak membiarkan mereka yang mempunyai agenda tersembunyi atau bermotifkan politik, untuk mengganggu-gugat apa yang dikecapi selama ini.

“Ini kerana ada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab, menyemai perasaan tidak percaya dengan tujuan untuk memusnah dan menghancurkan perpaduan, keamanan dan keharmonian yang kita nikmati selama ini,” katanya.

Musa turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga demi tugas dan tanggungjawab bagi menjaga dan memelihara keamanan serta kedaulatan negara.

Beliau memberi contoh penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) berjaya memberi keyakinan kepada pelancong dan pelabur bagi menjana pertumbuhan dan peningkatan ekonomi, termasuk dalam bidang pelancongan, pertanian serta sektor minyak dan gas.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.