Kiriman pada: Tue, Dec 15th, 2015

Pengedar Sembunyi Dadah Dalam Mesin Basuh

Kongsi maklumat ini
Tags

ngdhmLANGKAWI – Taktik pengedar cuba untuk menyembunyikan heroin di dalam mesin basuh gagal apabila mereka berjaya diberkas Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kejayaan itu adalah hasil dari dua serbuan yang dibuat oleh pasukan yang diketuai Inspektor Shaharuddin Shah di kawasan Bukit Malut bermula kira-kira pukul 4.00 pagi.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah yang tidak bernombor di kawasan itu, pasukan itu telah menangkap dua orang wanita yang masing-masing berumur 23 dan 18 tahun, dan hasil pemeriksaan ke atas mereka pihak polis menemui 383 gram dadah jenis heroin dan lapan gram dadah jenis syabu,” katanya.

Lanjutan dari serbuan pertama itu, polis telah menyerbu sebuah lagi rumah yang berdekatan dan menahan tiga orang lagi wanita, dua daripada mereka warga Thailand berumur antara 19 dan 57 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan seterusnya polis telah menemui 244 gram dadah jenis heroin yang disembunyikan di dalam sebuah mesin basuh di rumah itu,” katanya.

Che Ghazali berkata kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM14,000 dan dipercayai telah dibawa masuk ke Langkawi untuk edaran kepada penagih-penagih dadah di sekitar kawasan Bukit Malut,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.