Kiriman pada: Thu, Mar 12th, 2015

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Bagi Januari 2015 Meningkat

Kongsi maklumat ini
Tags

getah1Kuala Lumpur – Pengeluaran getah asli Malaysia bagi Januari 2015 meningkat 53.8 peratus atau 28,600 tan metrik kepada 81,798 tan metrik berbanding bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia, hari ini, bagi perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran itu merosot 11.3 peratus atau 10,419 tan metrik.

Sektor pekebun kecil menyumbang 93.0 peratus daripada keseluruhan pengeluaran manakala sektor estet sebanyak 7.0 peratus.

Eksport getah asli pada Januari 2015 meningkat 27 tan kepada 69,465 tan metrik berbanding sebelum ini manakala bagi perbandingan tahun ke tahun ia meningkat sebanyak 953 tan metrik.

Sementara itu, import getah asli pada Januari 2015 berjumlah 96,131 tan metrik meningkat 10,938 tan metrik daripada bulan sebelumnya namun merosot 10,323 tan metrik bagi perbandingan tahun ke tahun.

Thailand adalah pembekal utama getah asli sebanyak 52.7 peratus dan diikuti Vietnam 23.5 peratus. Kedua-dua negara itu merangkumi 76.2 peratus daripada keseluruhan import.

Penggunaan domestik getah asli meningkat 214 tan metrik kepada 37,923 tan metrik pada Januari 2015 berbanding bulan sebelumnya manakala bagi tahun ke tahun, menunjukkan peningkatan sebanyak 2,853 tan metrik.

Pada akhir Januari 2015, stok getah asli adalah sebanyak 187,720 tan iaitu 32.3 peratus lebih tinggi daripada Disember 2014, namun berkurangan 15.9 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun.

Merujuk harga komoditi itu, harga purata bulanan bagi lateks pekat menokok empat peratus atau 14.46 sen kepada 376.69 sen sekilogram (kg) pada Januari 2015 berbanding bulan sebelum ini.

Ia bagaimanapun, lebih rendah daripada perbandingan tahun ke tahun sebanyak 108.68 sen.

Bilangan pekerja bergaji di estet getah pada Januari 2015 adalah 12,185 orang dengan jumlah bayaran gaji dan upah sebanyak RM16.6 juta.

Produktiviti pengeluaran getah asli bagi Januari 2015 meningkat 26.0 peratus kepada 146.5 kg sehektar daripada Disember 2014 dan mencatat kenaikan kecil 1.5 peratus atau 2.2 kg sehektar bagi tempoh sama, tahun lepas.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.