Kiriman pada: Mon, Aug 17th, 2015

Pengerusi BN Selangor Bagi Jaminan MP BN Selangor Tidak Terlibat

Kongsi maklumat ini
Tags

lknvjKLANG – Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini memberi jaminan tiada Ahli Parlimen BN dari negeri itu terlibat dalam gerakan menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, kesemua wakil BN di Selangor tetap dengan pendirian menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya beri jaminan, kelima-lima kami (Ahli Parlimen BN di Selangor) tidak akan terjebak dalam gerakan seperti ini kerana tetap mengikut dasar demokrasi yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bulan Kebangsaan 2015 dan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Penyelaras Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Budiman Mohd Zohdi.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang mengesahkan wujud gerakan tersusun untuk menggulingkan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Ahmad Zahid berkata, gerakan berkenaan yang didalangi seorang pemimpin Umno dan bekerjasama dengan pembangkang, kini dalam proses menyiapkan memorandum untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain Noh, empat lagi Ahli Parlimen BN dari Selangor ialah Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala Selangor), Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan P. Kamalanathan (Hulu Selangor).

Sementara itu, Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor mengingatkan anggota dan pemimpin Umno agar tidak terjerumus dengan rentak politik pembangkang.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.