Kiriman pada: Fri, Jan 13th, 2017

Pengganti Tok Nan Diumumkan Hari Ini?

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuching – Mesyuarat Majlis Tertinggi Mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang sedang berlangsung pagi ini dijangka memilih Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Selain Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg merangkap Timbalan Presiden PBB, mesyuarat khas itu turut disertai beberapa pemimpin kanan lain, termasuk Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Agung PBB/BN Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Ketua Pemuda PBB.

Difahamkan, mesyuarat khas yang berlangsung di kediaman peribadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya, di sini juga dipercayai bagi mendapatkan ‘restu’ beliau berhubung calon pengganti dipilih bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Sumber memberitahu BH, satu pengumuman rasmi bakal dikeluarkan pada bila-bila masa berhubung istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Bagaimanapun, hingga jam 11.30 pagi ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu, namun ada maklumat menyatakan ia dijadualkan berlangsung di Astana Negeri, Petra Jaya jam 3 petang ini.

“Segala persiapan bagi memastikan kelancaran istiadat itu sudah dilakukan di Astana Negeri, malah agensi dan jabatan kerajaan berkaitan sudah bersiap sedia bagi menyempurnakan istiadat itu,” katanya.

Jawatan Ketua Menteri Sarawak kosong susulan kematian Tan Sri Adenan Satem, 72, akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan pada 11 Januari lalu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.