Kiriman pada: Mon, Dec 28th, 2015

Penghantar Surat Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Khianat Bakar Kereta

Kongsi maklumat ini
Tags

Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan khianat menggunakan bahan api sehingga menyebabkan kebakaran enam kenderaan di tempat letak kereta berhampiran Stesen LRT Taman Jaya, Isnin lalu.

Budiman Shah Baharudin, 26, didakwa melakukan khianat menggunakan petrol dalam botol mineral dengan cara membalingnya ke arah kereta jenis Proton Wira milik Muhammad Nor Fikri Razali, 20, sehingga menyebabkan kebakaran lima kenderaan lain iaitu Proton Gen 2, Toyota Vios, Honda City, Suzuki Swift dan Proton Saga FLX.

Tindakan tertuduh itu juga menyebabkan kebakaran harta awam iaitu laluan berbumbung sepanjang 30 meter, papan agihan elektrik, tiang konkrit, lantai konkrit, papan iklan dan sebatang tiang lampu trafik yang keseluruhannya bernilai RM449,600.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Barat di sini antara pukul 12.50 tengah hari dan pukul 1.15 tengah hari, 21 Dis lalu.

Tertuduh yang memakai baju T berwarna krim didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang wang jaminan, namun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai kebarangkalian untuk melarikan diri.

“Dalam kes ini tertuduh tinggal bersama penjamin (iaitu ibunya), penjamin boleh memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah, tidak ada sebab untuk tertuduh melarikan diri.

“Selain itu tertuduh yang sudah berkahwin dan bekerja sebagai penghantar surat itu hanya berpendapatan RM800 sebulan dan perlu menanggung kedua ibu bapanya,” katanya sambil menambah tertuduh bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang diperintahkan mahkamah sekiranya perlu.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jan untuk sebutan semula kes.

Isnin lepas, masyarakat termasuk netizen di laman sosial digemparkan dengan insiden kebakaran enam kenderaan.

Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki bermotosikal telah menghampiri sebuah kereta yang diletakkan di kawasan itu, lalu bertindak membaling botol berisi petrol yang dinyalakan api ke arah tempat duduk belakang sebuah kenderaan sehingga menyebabkan lima kenderaan lain yang berdekatan turut terbakar.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.