Kiriman pada: Sat, Jan 16th, 2016

Pengubahsuaian Bajet 2016 Ambil Kira Kesan Kepada Pasaran Dan Rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

Najib1Putrajaya – Pengubahsuaian Bajet 2016 akan memberi tumpuan kepada apa yang dianggap positif oleh pasaran dan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pengubahsuaian itu meliputi isu-isu termasuk berkaitan kos sara hidup, kadar pengangguran, rangsangan kepada sektor swasta dan soal komoditi terutama harga minyak.

“Pertimbangan ini boleh memberi manfaat sama ada dari segi hasil kerajaan atau perbelanjaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menangani apa yang difikirkan penting oleh rakyat,” katanya.

“Kita mengambil langkah lebih awal… Kerajaan amat proaktif dan kita tidak mahu keadaan mendahului kita. Kita perlu dapat mengambil langkah-langkah sesuai untuk mengurangkan sebarang kesan negatif yang mungkin menjejaskan ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya pada sidang media di sini.

Najib sebelum itu mempengerusikan tiga mesyuarat iaitu bersama penganalisis ekonomi, peneraju industri dan anggota-anggota Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE).

Beliau berkata mesyuarat-mesyuarat itu diadakan untuk memastikan proses penglibatan dan konsultasi bersifat menyeluruh untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak berkaitan pengubahsuain Bajet 2016.

“Ini akan dijadikan sebagai pertimbangan dan asas dalam usaha membentangkan satu pengubahsuaian Bajet 2016,” kata beliau.

Katanya beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil pengguna dan badan berkaitan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam masa terdekat.

Najib dijadual membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan ini.

Semasa ditanya respons pertemuan dengan peneraju industri, Najib berkata kumpulan itu menerima secara positif perancangan kerajaan untuk mengubahsuai bajet.

“Seperti tahun yang sudah, kita mengambil langkah proaktif di mana kita tidak mahu sesuatu keadaan memberi tekanan kepada ekonomi negara dan menyusahkan rakyat,” kata beliau.

Sementara itu, Najib berkata pengubahsuaian Bajet 2016 tidak boleh dilihat secara berasingan tetapi perlu dianggap sebagai satu pakej dasar oleh kerajaan.

“Kita perlu mempertimbangkan apa sahaja langkah-langkah yang kita akan lakukan, mempertimbangkan kesannya dari segi pertumbuhan, pekerjaan dan inflasi,” kata beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.