Kiriman pada: Mon, Feb 1st, 2016

Pengubahsuaian Bajet 2016 – PKS Perlu Rebut Peluang

Kongsi maklumat ini
Tags

IMG-20160128-WA0056Kuala Terengganu – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa merebut peluang daripada Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk mengembangkan pasaran dan meningkatkan sumbangan hasil kepada negara.

Presiden Tunas Usahawan Belia Terengganu (PATUT), Amir Long berkata, ini memandangkan kerajaan telah menyenaraikan beberapa program bagi menyokong PKS menerusi agensinya seperti SME Corp Malaysia dan MATRADE untuk memajukan lagi perniagaan usahawan PKS di negara ini.

“Usahawan perlu merebut peluang hasil usaha agensi kerajaan seperti program ‘Mid-Tier’ dan ‘Go-Export’ untuk membolehkan PKS yang berpotensi memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing ke luar negara dengan bantuan geran yang disediakan.

“Saya percaya program ‘Mid-Tier’ yang diperkenalkan oleh SME Corp Malaysia akan membantu PKS Bumiputera, terutamanya yang masih baharu untuk lebih bersedia menghadapi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Peruntukan sebanyak RM40 juta itu akan mampu memberi manfaat kepada lebih 100 PKS Bumiputera dan berpeluang mengeksport ke negara luar,” katanya.

Menerusi pengubahsuaian bajet itu, Exim Bank Bhd juga telah meningkatkan dana untuk pembiayaan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan kemudahan jaminan kredit untuk perdagangan yang akan membantu beberapa PKS bersaiz kecil bagi meningkatkan kapasiti mereka.

Selain itu kerajaan juga menyediakan mekanisme rundingan melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat di bawah Bank Negara Malaysia bagi membantu PKS yang menghadapi masalah kewangan disebabkan oleh persekitaran ekonomi semasa yang mencabar.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.