Kiriman pada: Fri, Jan 8th, 2016

Pengusaha, pemandu lori mohon diberi ruang angkut bauksit tanpa gangguan

Kongsi maklumat ini
Tags

Pengusaha dan pemandu lori bauskit di sini pada Khamis memohon agensi dan penguat kuasa berkaitan dapat memberi kerjasama dalam urusan pengangkutan bahan mineral itu ke pelabuhan sehingga tempoh moratorium bermula pada 15 Januari ini.

Pengusaha lori bauksit Khor Chin Keat, 31, berkata mereka tidak mempunyai masalah untuk mematuhi arahan penangguhan itu, namun hendaklah diberikan masa secukupnya untuk mencari pendapatan bagi menampung tempoh tiga bulan penangguhan itu.

Beliau, yang mempunyai 20 buah lori sejak terlibat dalam urusan pengangkutan bauksit setahun yang lalu, berkata pihaknya juga tidak mempunyai masalah untuk mengikuti arahan membersihkan lori sebelum melalui jalan utama bagi menjaga alam sekitar.

“Kita akur jika mereka suruh kita berhenti operasi tiga bulan. Tapi beri peluang untuk kita bawa keluar (bauksit) setakat masa yang ada. Jangan sukarkan kami seperti pagi ini, ada pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang datang ke sini,” katanya kepada pemberita di Felda Bukit Goh di sini.

Katanya beliau bimbang gangguan daripada pihak terlibat akan menjejaskan pendapatan pemandu lori, memandangkan pendapatan mereka adalah tidak menentu dan hanya bergantung kepada trip perjalanan yang berjumlah sekitar RM60 bagi satu perjalanan.

Pinjam wang

Sementara itu, pemandu lori, Zul Ahmad, 41, berkata ada rakan sekerjanya yang terpaksa meminjam wang daripada pengusaha lori kerana kekurangan trip ekoran bimbang untuk memandu lori ke pelabuhan kerana melihat operasi oleh jabatan penguatkuasaan.

“Ramai yang ingat bawa lori bauksit mudah. Tapi sebenarnya kami perlu masuk ke kawasan simpanan bauksit pada pukul 4 pagi dan adakalanya pada pukul 6 petang baru boleh keluar membawa bauksit ke pelabuhan.

“Di pelabuhan kami perlu menunggu lagi beberapa jam untuk menurunkan bauksit. Jadi untuk satu hari kami hanya dapat melakukan satu atau dua trip sahaja dan jika bernasib baik, baru dapat tiga perjalanan,” katanya.

Zul berkata pada awal membawa lori bauksit sekitar enam bulan lalu, beliau boleh memperoleh pendapatan sehingga RM7,000, namun sejak akhir-akhir ini, agak sukar untuk memperoleh RM1,500.

Berhubung penangguhan aktiviti perlobongan bauksit selama tiga bulan, katanya beliau mahu mengumpulkan wang yang cukup untuk pulang ke Pulau Pinang kerana kos untuk membawa lori pulang dianggarkan sebanyak RM700, sebelum mencari kerja lain sementara menunggu kebenaran beroperasi semula.

Ansuran tertunggak

Seorang lagi pemandu lori, K. Siva dari Ipoh, Perak berkata bayaran ansuran lori 18 tayar yang dibelinya pada harga RM160,000 telah tertunggak selama dua bulan, ekoran kurang mendapat trip untuk membawa bauksit.

Katanya, beliau perlu mengutamakan perbelanjaan keluarga dan tiga anaknya yang masih bersekolah di Perak, menyebabkan ada masanya beliau hanya makan mi segera atau roti untuk menggalas perut.

“Untuk pulang ke Ipoh juga perlukan wang. Jika mereka asyik kacau kita, bagaimana kita mahu pulang? Itu baru kos untuk pulang, belum lagi untuk tampung tiga bulan kita tidak bekerja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Masalah Bauksit Bukit Goh, Shahrudin Mohd memohon pihak telibat untuk mendengar rayuan pengusaha dan pemandu lori bagi mengurangkan beban kewangan mereka ekoran pengumuman pemberhentian operasi dibuat secara mengejut.

Katanya, pengusaha dan pemandu lori sentiasa bersedia berbincang dengan dengan agensi terlibat dalam isu berkaitan bauksit, namun mendakwa tiada wakil yang hadir pada perjumpaan yang diadakan enam bulan lalu.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.