Kiriman pada: Fri, Dec 11th, 2015

Peniaga di PAU 15 gembira bisnes lumayan

Kongsi maklumat ini
Tags

12nigaaumno.transformedKUALA LUMPUR: Sehari sahaja lagi, Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan melabuhkan tirainya. Serentak itu, 300 peniaga yang ditempatkan di Gerai Jualan Aras Tiga dan Empat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dilihat berlumba-lumba menurunkan harga untuk memancing pengunjung.

Tinjaun kami mendapati, ada peniaga yang sanggup menawarkan potongan harga hingga 80 peratus istimewa untuk pengunjung yang mengikuti perhimpunan itu hingga ke saat-saat akhir.

Peniaga songkok, Mohd Nazri Jazlan, berkata sambutan pengunjung pada tahun ini cukup menggalakkan malah dia sendiri tidak menyangka jualannya pada tahun ini meningkat mendadak berbanding tahun lalu.

“Walaupun baru hari keempat, jualan saya sudah melebihi rekod jualan yang kami dapat pada tahun lalu. Siapa kata Perhimpunan Agung UMNO sekarang tidak meriah seperti dahulu?,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Peniaga dari Kelantan itu berkata, kadar sewa yang berpatutan juga menyebabkan perhimpunan terbesar kaum Melayu itu ditunggu-tunggu pengusaha dari seluruh negara.

“Tak perlu promosi gila-gila kerana nama UMNO sendiri sudah cukup hebat untuk tarik pengunjung dari seluruh negara datang ke sini,” katanya.

Bagi peniaga produk makanan, Ros Suria Abas, persidangan ini adalah kesempatan kepadanya bersama-rakan untuk menambah pendapatan sekali gus menaikkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, walaupun persidangan ini hanya setahun sekali, ia memberi makna yang cukup besar kepada peniaga kecil dan sederhana sepertinya.

“Tidak dinafikan persidangan UMNO adalah lubuk mencari rezeki kepada kami peniaga. Boleh dikatakan 60 peratus hasil jualan sudah berjaya diraih,” katanya.

Sementara itu pengusaha kain batik ‘tie dye’, Noor Atikah Abdul Ghani, berkata walaupun harga barangannya agak tinggi kerana buatan tangan, sambutan yang diterima pengunjung sangat menggalakkan.

Katanya, ada pengunjung yang membeli secara pukal kerana keistimewaan hasil kain batik tie dye jualannya.

“Saya sendiri tidak menyangka dapat menjual dalam kuantiti yang banyak. Ia melebihi jangkaan awal saya. Saya gembira dan merasakan gerai jualan yang dibuka sempena persidangan UMNO ini memberi banyak peluang kepada kami golongan peniaga,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.