Kiriman pada: Fri, Mar 13th, 2015

Penstrukturan semula industri air Selangor perlu diteruskan

Kongsi maklumat ini
Tags

gambar-khalid-ibrahimKUALA LUMPUR: Penstrukturan semula industri air di Selangor perlu diteruskan tetapi nilainya mesti tidak melebihi RM9.65 bilion, kata bekas Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata, harga pengambilalihan ekuiti daripada empat syarikat konsesi air juga seperti dipersetujui dalam perjanjian mesti tidak melebihi nilai berkenaan.

Katanya, jika harga yang ditawarkan melebihi jumlah itu, ia seolah-olah merompak hasil kekayaan rakyat untuk mengkayakan syarikat konsesi yang tamak.
“Saya percaya bahawa isu pemilikan tanah yang kononnya dinyatakan sebagai alasan untuk kerajaan negeri membatalkan perjanjian air boleh diselesaikan jika semua pertikaian itu dibawa ke meja rundingan.

“Saya telah berjumpa dengan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau dan beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan berusaha melaksanakan perjanjian itu bagi memberi laluan kepada penyelesaian isu air secara holistik seperti dihasratkan melalui Akta industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid menjelaskan, kegagalan meneruskan perjanjian itu akan membawa banyak kesan antaranya risiko kehilangan peluang kepada kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air.

Tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air juga, kerajaan Selangor katanya turut berdepan kemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan yang sudah dilaksana sejak Jun 2008 berikutan kekurangan dana.

“Selain itu, peluang ini juga akan membolehkan syarikat konsesi menaikkan tarif air sebanyak 52 peratus pada tahun ini seperti dibenarkan mengikut Perjanjian Penswastaan.

“Malah lebih buruk lagi, kerajaan Selangor perlu membayar tunggakan kenaikan tarif air sebanyak RM2 bilion kepada syarikat konsesi,” katanya.

Katanya, ini jelas menunjukkan kerajaan Selangor akan mengalami kerugian besar sekiranya tidak meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya amat berharap kepimpinan kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan yang akan dilakukan selepas ini,” katanya.

Beliau juga hairan apabila dimaklumkan kerajaan negeri hari ini sudah mengeluarkan lesen operasi air bersih kepada syarikat konsesi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Perkara ini nampaknya bercanggah dengan usaha dan semangat rakyat Selangor untuk menjadi pemilik mutlak industri air di Selangor apabila penstrukturan air dimuktamadkan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.