Kiriman pada: Thu, Jul 16th, 2015

Penyebaran maklumat tidak benar dalam alam maya semakin berleluasa

Kongsi maklumat ini
Tags

wanita-raja-media-sosialKUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja berdepan dengan usaha mengurangkan kadar jenayah tetapi juga dibebankan dengan tanggungjawab memperbetulkan fakta yang telah diputar belitkan oleh media sosial.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SDCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata penyebaran maklumat yang tidak betul di media sosial kini semakin berleluasa yang mampu mencetuskan kekecohan yang tidak sepatutnya berlaku.

Ini telah menambah beban pihak polis dalam mengawal ketenteraman awam, katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata selain itu jenayah siber seperti aktiviti menggodam laman sesawang juga semakin meningkat.

“Pengguna media sosial harus bersikap rasional, pastikan dahulu maklumat yang diterima itu betul dan jangan berasa sangsi dengan kenyataan yang dikeluarkan pihak PDRM,” katanya.

“Kita (polis) beri kenyataan lewat kerana kita nak fakta yang betul, kita tak boleh cerita yang tak betul sebab apa yang kita cakap akan timbul di mahkamah kelak,” katanya.

Pada Ahad lepas, berlaku pergaduhan di Plaza Low Yat di sini susulan insiden kecurian telefon bimbit oleh seorang suspek di dalam plaza tersebut pada malam Sabtu lalu.

Insiden itu menjadi hangat apabila banyak pihak menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan berita palsu berkaitan insiden tersebut.

Sehingga kini polis menahan 25 individu yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat itu.

Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Fuad berkata sambutan Hari Pahlawan tahun ini akan diadakan 31 Julai ini di Dataran Merdeka bagi memperingati dan mengenang jasa-jasa pahlawan yang telah terkorban bagi mempertahankan negara.

Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah istiadat pemeriksaan perbarisan oleh Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka, bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat di Masjid Negara dan khutbah Jumaat khas di masjid-masjid di seluruh negara, katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.