Kiriman pada: Mon, Aug 17th, 2015

Perbanyakkan Berselawat Ke Atas NABI SAW

Kongsi maklumat ini
Tags

loveMUHAMMADsawSahabat yang dirahmati ALLAH,

Tanda kita kasih dan cinta kepada RASULULLAH SAW adalah kita melaksanakan semua perintah yang diarahkan oleh baginda dan kita menjauhi semua larangannya. Kerana semua perintah dan larangannya adalah datangnya daripada ALLAH SWT. Selain daripada itu kita hendaklah mengikuti amalan dan sunnah RASULULLAH SAW setiap hari yang dilaksanakan baginda dalam kehidupan .

Jalan untuk melahirkan kecintaan kita kepada RASULULLAH SAW adalah dengan kita banyakkan berselawat. ALLAH SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikat-NYA berselawat untuk Nabi(MUHAMMAD SAW). Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi(MUHAMMAD SAW) dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah al-Ahzab ayat 56)

Berselawat ke atas RASULULLAH SAW bermakna berdo’a memohon supaya ALLAH melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita, NABI MUHAMMAD SAW.

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya : ” Siapa berselawat kepada RASULULLAH SAW sekali. nescaya dia akan di selawatkan ALLAH dan para Malaikat-Nya sebanyak 70 kali.”
(Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis yang lain RASULULLAH SAW bersabda maksudnya : ” Sesuatu do’a terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdo’a berselawat kepada RASULULLAH SAW. ”
(Hadis Riwayat At-Tabaraani)

Sahabat yang dimuliakan,
RASULULLAH SAW adalah kekasih ALLAH SWT. Dia sendiri memerintahkan para hamba-NYA berselawat kepada baginda sebagai tanda melahirkan cinta dan kasih sayang kepada kekasih-NYA. Di hari akhirat nanti selawat itu menjadi satu kelompok cahaya yang menerangi di Siraat.

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya : ” Selawat kepadaku itu merupakan satu (kelompok) cahaya di hari kiamat yang menjelma di Siraat (Titian al-Mustaqiim)”
(Hadis Riwayat Abu Sa’id)

Terdapat beberapa fadilat dan kebaikan besar yang akan kita perolehi apabila kita sentiasa berselawat kepada RASULULLAH SAW.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Memperolehi keredhaan ALLAH SWT.

Dari Ali bin Abi Talib k.w memberitakan bahawa dia mendengar RASULULLAH SAW bersabda maksudnya ; “Jibril a.s. pernah berkata : ‘Wahai MUHAMMAD, sesungguhnya ALLAH SWT telah berfirman :’Sesiapa berselawat keatas tuan 10 kali, pastilah dia memperoleh keamanan daripada kemurkaan-NYA.”
(Hadis Riwayat Ibnu Bisykuwaal)

Kedua : Di permudahkan jalan menuju ke Syurga. dan memasuki Syurga.

Abu Hurairah r.a pernah berkata RASULULLAH SAW bersabda maksudnya : “Siapa lupa dari berselawat ke atasku, maka dia akan lupa jalan ke Syurga.”
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Berdasarkan hadis ini sesiapa yang lupa atau tidak mahu berselawat maka di hari akhirat nanti dia akan terlupa jalan menuju ke Syurga dan sesiapa yang banyak berselawat dia tidak akan lupa dan akan dipermudahkan untuk jalan menuju ke Syurga. dan dapat memasuki Syurga.

Ketiga : Mendapat syafaat dan pembelaan dari RASULULLAH SAW di hari akhirat.

Orang-orang Mukmin percaya bahawa di hari akhirat nanti akan berlaku huru hara yang amat dahsyat di mana manusia akan terkena pancaran mata hari yang amat panas yang mendorong mereka mencari syafaat (pertolongan). Orang yang mendapat syafaat akan terhindar dari bahaya ini dan dari bahaya tengelam di dalam banjir peluh manusia. Mereka juga memperolehi segala kemudahan untuk segera memasuki Syurga.

Ketika ini syafaat RASULULLAH SAW sangat-sangat diperlukan. Sesiapa yang banyak berselawat kepada RASULULLAH SAW akan mendapat syafaat baginda dan terlepas daripada kegawatan di Padang Mahsyar.

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. ” (Hadis Riwayat Baihaqi dari Al-Khatib)

Keempat : Memperolehi kedudukan yang dekat dengan RASULULLAH SAW di hari akhirat.

Sabda RASULULLAH SAW maksudnya : “Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku” (Hadis Riwayat An-Nasa’i dan Ibnu Hibban)

Kelima : Berfungsi menghapuskan kejahatan (dosa) dan menaikkan darjat di sisi ALLAH SWT.

Sabda RASULULLAH SAW maksudnya : ” Dan sesiapa berselawat kepadaku sekali, nescaya ALLAH akan selawat ke atasnya 10 selawat, menghapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa) dan mengangkatkannya 10 darjat.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad, Nasa’i dan Al-Hakim)

Keenam : Di sampaikan keperluannya (hajat) oleh ALLAH SWT.

Sabda RASULULLAH SAW maksudnya ; ” Siapa berselawat kepadaku 100 kali pada setiap hari, nescaya ALLAH akan menyampaikan 100 keperluannya : 70 bagi keperluan akhirat dan 30 bagi keperluan dunia.”
(Hadis Riwayat Ibnu Mandah)

Sahabat yang dikasihi,
Sayidatina Aisyah r.ha sedang menjahit pada suatu dinihari. Tiba-tiba jarumnya terjatuh ke lantai. Tidak sempat dia hendak mengambil semula jarum itu, api pelita yang sedang menerangi terpadam ditiup angin. Dalam keadaan yang gelap dapatkah Sayidatina Aisyah mengambil jarum yang jatuh?

Dapat iaitu tidak lama kemudian sebaik sahaja RASULULLAH SAW melangkah masuk, cahaya dari tubuh RASULULLAH SAW menerangi ruang yang gelap itu. Sayidatina Aisyah merasa kagum dengan kebesaran ALLAH SWT yang memberikan kemuliaan dan kelebihan yang sangat luar biasa kepada baginda.

“Subhanallah! Adakah di kalangan umatmu orang yang tidak dapat melihat cahayamu ini wahai RRASULULLAH?” tanya Sayidatina Aisyah r.ha.

“Ada” jawab RASULULLAH SAW “Iaitu mereka yang apabila namaku disebut dia tidak mahu berselawat kepadaku.”

Sabda RASULULLAH SAW bermaksud : ” “Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku. ”

Dalam hadis yang lain RASULULLAH SAW bersabda maksudnya : “Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. ”

Kata-kata RASULULLAH SAW itu membenarkan apa yang pernah diberitahu oleh Malaikat Jibril a.s. kepada RASULULLAH SAW.

Kata Malaikat Jibril, “Celakalah orang yang apabila namamu (RASULULLAH SAW) disebut dia tidak berselawat keatasmu.”

Jadi apabila kita mendengar orang menyebut ‘Sallallahu ‘alaihi wasallam’ di hujung sebutan nama RASULULLAH SAW, hendaklah kita menyebut ‘Sallallahu ‘alaihi wasallam’.

Oleh itu marilah kita banyakkan berselawat kepada RASULULLAH SAW tanda cinta dan kasih kita kepada Junjungan Besar NABI MUHAMMAD SAW.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.