Kiriman pada: Sun, Dec 18th, 2016

Perebutan Kerusi Dalam Pakatan Pembangkang Tidak Mustahil

Kongsi maklumat ini
Tags

Kangar – Pertikaian mahupun Perebutan kerusi tidak mustahil berlaku antara DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata hal itu jelas menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara mereka yang membuktikan wujud rasa saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

“Kerana itulah, pakatan berkenaan memilih MoU dan bukannya perjanjian jelas yang membuktikan garis panduan dalam kerjasama mereka secara jelas.

“MoU seperti ini boleh dibuat sesiapa sahaja, malah MoU bukan sesuatu yang pasti,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan itu sekali gus membuktikan pakatan yang dibentuk antara mereka tidak mempunyai masa depan dan hala tuju perjuangan yang pasti.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang menyebut kemungkinan berlaku perebutan kerusi apabila PKR Selangor tidak membenarkan PPBM dan PAN bertanding di Selangor dan Pulau Pinang.

Menurut Shahidan perkara itu amat berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai hala tuju yang jelas apabila membuat perjanjian berasaskan Perlembagaan.

“Rakyat wajar menyokong parti yang sudah jelas tentang hala tuju perjuangan mereka, serta harus menyedari bahawa gabungan yang diterajui pakatan pembangkang pula terdiri daripada mereka yang kecewa dalam perjuangan,” katanya.

Kerajaan BN pasti akan muncul dan menonjol sebagai parti membela rakyat dengan pelbagai program dan usaha dilakukan untuk kesejahteraan rakyat, katanya.

“Bezanya buat masa ini pembangkang berjaya menguasai isu yang sedikit tetapi diletakkan di atas bahu kerajaan sehingga terlihat, pemerintahan sekarang lemah.

“Rakyat pula (ada yang) lebih memilih dan terbawa oleh emosi dan persepsi berbanding fakta sebenar,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.