Kiriman pada: Mon, Jul 13th, 2015

Pergaduhan di Low Yat boleh merebak jika tidak dipantau

Kongsi maklumat ini
Tags

opposKUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada pagi Isnin berisiko berpanjangan ke institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah jika tidak diambil cara penyelesaian segera.

Presiden Majlis Belia Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, jika tidak dibendung, insiden itu boleh membawa kepada bibit-bibit rusuhan kaum di seluruh negara.

“Pada hemat saya insiden yang berlaku dan disebarkan melalui media sosial sewaktu umat Islam menjalani ibadat Ramadan boleh menyebabkan sensitiviti umat Islam di negara ini terguris.

“Tambahan pula pergaduhan yang berlaku adalah melibatkan generasi muda dua kaum di negara ini. Saya khuatir kalau insiden yang disebarkan media sosial ini tidak dipantau kelak boleh merebak ke sistem persekolahan dan IPT di dalam dan luar negara,” katanya.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian ketika mengulas kejadian rusuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan berhampiran Plaza Low Yat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa dilaporkan berkata, pihaknya turut membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Jelasnya, siasatan juga dibuat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri.

Pada malam Sabtu, sekumpulan tujuh lelaki mengamuk di Plaza Low Yat selepas seorang rakan mereka mendakwa ditipu penjual telefon bimbit di situ.

Dalam kejadian yang berlaku jam 7.50 malam itu, beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dibelasah oleh kumpulan tersebut. Selain itu, mereka turut merosakkan peralatan dan barangan di dalam kedai.

Dalam pada itu jelas Irmohizam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia disaran segera menggubal peruntukan-peruntukan di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar memikirkan undang-undang baru bagi mengawal keharmonian dan keselamatan rakyat di negara ini.

“Undang-undang itu terutamanya bagi pencegahan insiden yang boleh mengakibatkan pergaduhan kaum seperti yang berlaku di Plaza Low Yat,” ujarnya.

Pada Ahad, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur Muez Abdul Aziz memberitahu, pihaknya akan memulakan siasatan berhubung dakwaan kononnya satu insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat pada malam Sabtu berpunca akibat penipuan oleh peniaga.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.