Kiriman pada: Wed, Nov 30th, 2016

Perhimpunan Sayap UMNO Tumpu Penyelesaian Masalah Rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

tumpuKuala Lumpur – Isu seperti kos sara hidup dan pemilikan rumah yang menjadi tumpuan dalam perhimpunan agung tiga sayap UMNO menunjukkan keprihatinan parti untuk terus mencari penyelesaian berhubung permasalahan rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO itu yang menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata pengurusan tertinggi parti akan mengambil perhatian pelbagai cadangan yang dilontarkan perwakilan untuk diperhalusi oleh kerajaan.

“Isu kos sara hidup ini juga merupakan isu yang membumi dalam kalangan kepimpinan akar umbi UMNO dan ia dilaungkan oleh jurucakap-jurucakap ketiga-tiga sayap.

“Ini menunjukkan keprihatinan sayap-sayap yang menyatakan perit jerih masalah kos sara hidup dan keprihatinan dan kepedulian atas masalah ini tentunya harus fokus kepada kumpulan sasar yang harus dibantu,” katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri sebelum itu meninjau perjalanan perhimpunan agung ketiga-tiga sayap UMNO – Wanita, Pemuda dan Puteri – yang berlangsung bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Mengenai permasalahan pemilikan rumah pula, Ahmad Zahid berkata beberapa cadangan yang diutarakan mungkin boleh diteliti pihak berkenaan seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri.

“Kenaikan harga rumah berakibat daripada kenaikan harga bahan pembinaan rumah dan kenaikan harga tanah dan tentunya mereka (rakyat) mengharapkan pihak kerajaan prihatin dan memberikan struktur bagi penyelesaian masalah ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata ketiga-tiga sayap turut membangkitkan usaha ke arah kesiapsiagaan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan menangkis serangan daripada seteru politik parti itu.

Jelasnya, serangan terhadap parti bukan hanya perlu ditangkis tetapi sesuatu yang lebih proaktif mesti dilakukan bagi memastikan ia tidak menghakis kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.