Kiriman pada: Tue, Dec 6th, 2016

Perjanjian Projek HSR KL-Singapura Akan Dimeterai Minggu Depan

Kongsi maklumat ini
Tags

perjanjianIskandar Puteri – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perkembangan projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sebagai berjalan ‘lancar dan baik’.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Singapura telah meminta sedikit masa kerana negara itu memerlukan kelulusan daripada presidennya.

“Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah menghubungi saya dan meminta sedikit masa bagi memberi taklimat kepada presiden mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia di Educity di sini, Selasa.

Najib berkata, mengikut Perlembagaan Singapura, jaminan projek seumpama itu memerlukan kelulusan presiden.

“Saya berpendapat, kita akan menandatangani perjanjian itu minggu depan. Beliau (Lee) akan datang ke Kuala Lumpur,” tambahnya.

Kedua-dua negara sudah membincangkan perjanjian itu lebih setahun.

Baru-baru ini Najib berkata, Malaysia dan Singapura berada di landasan untuk menandatangani perjanjian projek HSR pada awal Disember dan tender antarabangsa bagi membekalkan kereta api akan dibuat pada suku keempat tahun depan.

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian HSR bersejarah itu pada 19 Julai 2016, menandakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, pelancong akan sampai ke destinasi akhir antara kedua-dua bandar raya dalam hanya 90 minit.

Laluan itu dijangka mempunyai lapan stesen, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.