Kiriman pada: Mon, Feb 6th, 2017

Perjelas Isu NCR Dengan Terperinci

Kongsi maklumat ini
Tags

Lundu – Penduduk di tiga kampung dalam kawasan Tanjong Datu akan diberi penjelasan terperinci berhubung penyelesaian isu tanah hak adat Bumiputera (NCR).

Pengarah operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pegawai Jabatan Tanah dan Survei sebelum menjelaskannya kepada penduduk di kawasan terbabit.

“Sebelum itu, pegawai terbabit akan memberi taklimat kepada Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Abang Openg) dan kemudian saya pula akan bertemu penduduk untuk memberi penjelasan terperinci bagi merungkai kekeliruan.

“Sebelum ini, Ketua Menteri terdahulu (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) sudah berjanji akan mencari penyelesaian itu dan kami akan meneruskan hasrat arwah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Media PRK Tanjong Datu di sini, hari ini.

Tiga kampung yang terbabit dengan isu berkenaan ialah Kampung Sempadi, Kampung Sungai Limo dan Kampung Kangkar.

Isu tanah NCR menjadi modal kempen dua parti pembangkang yang bertanding pada PRK Tanjong Datu.

Mereka dijangka memainkan itu di kawasan majoriti pengundi Dayak yang membabitkan 18 peratus daripada 9,960 pengundi berdaftar di Tanjong Datu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.