Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

Perkasa Keamanan, Keharmonian Secara Bersama

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Perdana Menteri mahu semua agama mengembleng usaha memperkasakan keamanan dan keharmonian antara kaum supaya dapat melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.

Ketika berucap di Majlis Jamuan Perdana Keamanan dan Keharmonian di Hotel Majestic sebentar tadi, Datuk Seri Najib Razak, berharap setiap rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dipupuk dengan semangat toleransi, bertimbang rasa dan merendah diri.

Beliau percaya, keamanan dan keharmonian bukan sekadar perlu menghadiri sambutan rumah terbuka, malah ia lebih dari itu.

“Untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian, tindakan perlu lebih dari kata-kata supaya usaha itu ada hasilnya jika dipraktikkan.

“Tak kenal, maka tak cinta. Itu paling penting. Bila kita kenal, kita akan faham antara satu sama lain. Baru boleh hargai serta sayang sesama kita.

“Nilai-nilai ini perlu dibentuk dan bukannya terhasil secara semula jadi. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan budaya, perlu ada persefahaman jitu bagi mengelak salah faham antara kaum.

Dalam majlis anjuran Christian For Peace and Harmony in Malaysia (CHPM) yang dihadiri lebih 1,000 tetamu dari pelbagai pertubuhan agama itu, Najib mencadangkan lebih banyak bibit perpaduan dibentuk.

Beliau memberi contoh, ketika solat Jumaat, penganut Kristian boleh membuka pintu kawasan gereja bagi memudahkan orang Islam meletak kenderaan.

Tambahnya, orang Islam pula perlu sama bertoleransi dengan menyediakan kemudahan meletak kenderaan kepada penganut Kristian di masjid untuk memudahkan aktiviti beribadah di gereja pada setiap hari Ahad.

“Ini toleransi yang kita mahukan. Saya percaya setiap agama mengajar penganutnya merendah diri dan bertoleransi.

“Misalnya, dalam Islam, konsep Tawadduk iaitu merendah diri amat ditagih untuk dipatuhi oleh setiap penganut agama Islam.

“Semua ini sepatutnya dihubungkan melalui program dialog, seminar atau persidangan supaya setiap pendekatan dalam setiap agama Islam, Kristian dan Buddha lebih difahami.

“Kepelbagaian dan keunikan masyarakat di negara ini dilindungi di bawah perlembagaan yang telah lama wujud lebih 60 tahun lalu. Saya harap Malaysia akan terus jadi sebuah negara aman dan harmoni selamanya,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.