Kiriman pada: Wed, Aug 31st, 2016

Perpaduan Antara Rakyat Pemacu Kejayaan Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

WhatsApp Image 2016-08-30 at 11.29.23 AMSempena kita menyambut Hari Kemerdekaan ke 59, luangkan sedikit masa untuk mengimbau kembali perjalanan negara sehingga ke hari ini.

Berlandaskan solidariti yang terbit dari kepelbagaian bangsa dan budaya, Malaysia kini adalah sebuah negara yang semakin disegani, dengan kejayaan di pelbagai peringkat. Kesungguhan dan kecekalan pejuang-pejuang negara telah menjadi asas kepada kejayaan yang dikecapi serta merupakan garis panduan dalam kita mengharungi rintangan dan cabaran.

Cita-cita dan azam ini jelas ditonjolkan oleh para atlet Olimpik negara pada awal bulan ini. Mereka telah menjulang nama negara di peringkat sukan antarabangsa berbekalkan kegigihan dan semangat kesukanan yang tinggi. Di tanah air pula, seluruh rakyat Malaysia bersatu hati, menyokong dan bersorak untuk atlet-atlet kita yang berjuang.

Ini benar-benar mencerminkan tema Hari Merdeka bagi tahun ini, Sehati Sejiwa malah membuktikan semangat patriotisme yang wujud pada setiap rakyat Malaysia.

Kontinjen negara juga telah mengukir sejarah dengan membawa pulang lima pingat Olimpik. Sambil kita menyambut kemenangan mereka kita juga harus menyedari bahawa kejayaan setiap individu adalah kejayaan kita bersama dan ini merupakan tonggak kejayaan tanah air yang kita cintai. Setiap individu mampu menyumbang dengan cara tersendiri, demi kejayaan Malaysia secara kolektif.

Dalam kita mengejar impian negara, mari kita bersama-sama menghayati semangat Kemerdekaan sambil kita meraikan hari yang amat bermakna ini. Kesederhanaan, toleransi dan bertolak ansur adalah asas Rakyat Malaysia dahulu, kini dan selamanya.

Selamat Hari Merdeka dan selamat beristirehat bersama keluarga. Bagi pengguna jalan raya, ingatlah mereka yang tersayang dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia.

Oleh Dato’ Sri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan
Presiden MCA

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.