Kiriman pada: Tue, Jan 12th, 2016

Pertahan Tanah Rizab Melayu

Kongsi maklumat ini
Tags

11rizeb.transformedApabila ‘Wasiat Raja-Raja Melayu’ memasukkan perihal Tanah Rizab Melayu dan bahasa Melayu dalam tujuh perkara amanat warisan, tentulah disedari betapa dua isu ini perlu ditangani secara bijaksana. Menurut satu sumber arkib, konsep Tanah Rizab Melayu adalah satu bentuk undang-undang pemilikan tanah perseorangan bangsa Melayu di Semenanjung. Ia bertitik tolak daripada kebimbangan Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Shah yang melihat gejala pelupusan tanah dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kawalan. Keprihatinan Sultan Idris Shah itu dibawa oleh Residen British Negeri Sembilan, Douglas Graham Campbell, dalam Mesyuarat Residen-Residen British di Kuala Lumpur pada Oktober 1908. Lima tahun kemudian, pada 1913 ia diwartakan. Pihak British juga khuatir akan gejala pelupusan hak milik tanah orang Melayu. Sekiranya gejala itu tidak dibendung segera, kemungkinan pemilikan tanah bangsa Melayu di Tanah Melayu untuk jangka masa panjang akan tergugat dengan begitu dahsyat sekali. Kesan jangka panjang Kealpaan orang Melayu terhadap kepentingan pemilikan tanah dalam jangka panjang, diburukkan lagi oleh sikap kurang ambil kisah, atau menjualnya demi keuntungan jangka pendek. Agak malang juga, sejak merdeka boleh dikatakan tiada sebuah kementerian atau agensi khas yang betul-betul dipertanggungjawab untuk mempertahankan dan membangunkan Tanah Rizab Melayu di seluruh Semenanjung. Akibatnya, kini kita melihat betapa saiz Tanah Rizab Melayu, terutama di bandar, telah menjadi kecil. Tanpa kementerian atau agensi khas yang diberikan kuasa undang-undang untuk mempertahan dan membangunkan Tanah Rizab Melayu, kapitalis dengan mudah merebutnya atas nama pembangunan. Pembangunan itu pula jarang memihak kepada bangsa Melayu dari aspek penempatan dan pemilikan akibat harganya yang tinggi. Apabila tidak lama dahulu Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan kita semula mengenai isu tanah rizab Melayu ini, wajarlah pihak kerajaan menentukan agensi khas bagi mempertahankan baki Tanah Rizab Melayu yang ada, seterusnya membangunkannya. Raja-Raja Melayu mengharapkan 50 peratus pemilikan tanah kekal kepada orang Melayu, sementara selebihnya untuk dikongsi bersama dengan kaum-kaum yang lain. Kita berasa bimbang, tanpa agensi khas menangani isu Tanah Rizab Melayu, lama kelamaan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal perca sebelum luput sama sekali. Bagi isu bahasa Melayu yang ada agensi khas pun (iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, yang ditugaskan membina dan mengembangkannya), kini bahasa Melayu pun kelihatan terumbang-ambing dilambung gelora bahasa Inggeris. Kealpaan bawa padah Kapitalis dan penggerak bahasa Inggeris yang oportunis selalu meminta kita bermain di padang sama rata, konsep bikinan mereka, tetapi isu tanah dan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memiliki natijah serta maruah yang jauh lebih mendalam dan penting kepada bangsa Melayu dan Raja-Rajanya. Kita selama ini alpa terhadap kepentingan Tanah Rizab Melayu. Kita melepaskannya kepada kapitalis untuk membangunkannya menurut selera mereka. Kita juga alpa terhadap bahasa Melayu sebagai satu-satunya sumber penyatuan pendidikan dalam masyarakat pelbagai kaum. Lalu kita benarkan generasi muda kita sedari kecil untuk berpisah-pisah memilih aliran pendidikan mereka sendiri. Sekarang dengan perasaan terkejut yang sudah tidak berguna, kita melihat bandar dan kawasan perumahan baharu muncul dengan nama asing. Sukar pula membina titik temu generasi baharu yang sudah lima dekad berpisah-pisah aliran pendidikan mereka. Gambaran membimbangkan ini mungkin dipancar dari sebuah projektor yang sengaja bertujuan mengaburkan imej Islam, Melayu dan bahasa Melayu. Mainan ini harus kita perhatikan dengan penuh kewaspadaan, kerana sebagai penonton kita belum sampai ke adegan akhir tujuan mereka yang sebenar. Tetapi, Raja-Raja Melayu mungkin dapat menduga adegan akhir mainan petualang itu. Apa ertinya menjadi Melayu di tanah air sendiri jika tidak memiliki hartanah? Apa ertinya menjadi Melayu yang tipis pemahaman agama Islam? Apa gunanya menjadi Melayu tanpa jati diri dan bahasa yang merapuh? Jika adegan akhir itu menjadi kenyataan, tidakkah itu juga memberi natijah sendiri kepada kedudukan serta kedaulatan Raja-Raja Melayu?

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.