Kiriman pada: Thu, Dec 10th, 2015

Perwakilan mahu ahli UMNO kembali bersatu

Kongsi maklumat ini
Tags

UMNO 2015KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO menyambut baik dan menghormati ucapan dasar Presiden yang mahu seluruh ahli kembali bersatu dan mengetepikan perbezaan pendapat yang wujud ketika ini demi meneruskan survival parti. Mereka berpendapat Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak jelas menyatakan pendiriannya bahawa beliau seorang yang terbuka, ikhlas dan sentiasa bersedia menangani isu yang melingkari parti ketika ini. Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata beliau yakin setiap perwakilan yang hadir pada perhimpunan kali ini mendapat mesej yang jelas bahawa Presiden UMNO tidak akan berundur untuk menempuh segala tohmahan dan cacian yang dilemparkan pihak yang sengaja ingin menjatuhkannya. “Beliau (Najib) tegaskan, dia berada di pihak yang benar untuk terus memimpin parti dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. “Sambutan diberikan oleh perwakilan pada ucapan presiden menunjukkan tiada pergolakan berlaku dalam parti, …dan jika ada sekali pun, ia pasti boleh diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi. Sementara itu, Ketua Wanita Bahagian Balik Pulau, Siti Faridah Arshad, menyifatkan ucapan dasar presiden sangat jelas dan begitu tegas dalam menyatakan pendiriannya berhubung pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh segelintir individu dari dalam dan luar parti. “Beliau sendiri berusaha menangani semua isu dalam parti mahupun tohmahan yang dilemparkan kepada beliau. “Saya suka sikap beliau yang bukan bercakap di belakang, tetapi cakap secara berterus-terang walaupun individu yang menghentam beliau ada di hadapannya. Betul kata Presiden, kita semua dah macam adik-beradik, jika ada masalah selesai sendiri bukan perlu membabitkan pihak luar,” katanya. Bagi Ketua Puteri Bahagian Putatan, Daliah Mohd Zain, setiap akar umbi parti harus menangkis segala campur tangan atau tangan ghaib yang cuba menggangu gugat keamanan yang sudah dikecapi negara hasil perjuangan UMNO dari dulu hingga kini. “Saya merayu kepada semua generasi muda, pertahankanlah, jangan leka dan jangan mudah terduduk jika diserang. Bangunlah mempertahankan kemakmuran dan kedaulatan negara ini,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.