Kiriman pada: Thu, Jan 19th, 2017

Pilihan Raya DUN Tanjong Datu Pada 18 Feb

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Sarawak akan diadakan 18 Feb ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya (PRK) itu pada 4 Feb, manakala pengundian awal pada 12 Feb.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem,akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Jazolkipli hanya meraih 468 undi.

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.

Mohd Hashim pada sidang media berhubung PRK itu berkata kawasan DUN Tanjong Datu mempunyai 9,959 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (9,771) dan pengundi awal (188).

“Seramai 250 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya ini dan dianggarkan memerlukan belanjawan sebanyak RM997,919,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.