Kiriman pada: Mon, Aug 3rd, 2015

Pindaan Dua Akta Bukan Untuk Sekat Kebebasan Rakyat Guna Internet

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI PANGLIMA DR MOHD SALLEH TUN SAID KERUAKPutrajaya – Cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan bertujuan menyekat kebebasan rakyat menggunakan media sosial dan internet, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, Salleh berkata cadangan pindaan kedua-dua akta itu adalah untuk memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalah guna sehingga boleh mengancam kepada berlakunya jenayah.

“Banyak yang mengatakan kerajaan akan menutup internet, ini tidak akan berlaku kerana ia (internet) adalah antara benda yang sangat diperlukan sekarang misalnya dalam sistem perbankan.

“Keperluan internet ini selari dengan perkembangan dunia semasa tapi tidak mahu ia disalah guna sehingga merosakkan keharmonian negara yang dibina sejak merdeka,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah tugas daripada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Salleh yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah dan juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia menggantikan Ahmad Shabery susulan rombakan Kabinet 28 Julai lepas.

Terdahulu, Salleh tiba di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini untuk melapor diri pada 9.30 pagi dengan disambut Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad serta para pegawai kanan kementerian.

Menjelas lanjut mengenai cadangan pindaan ke atas kedua-dua akta itu yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat, Oktober depan, Salleh memberi jaminan bahawa ia dibuat dengan telus tanpa menyembunyikan sebarang perkara.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.