Kiriman pada: Tue, Jan 10th, 2017

Plat GT Sudah Boleh Didaftar Di JPJ

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur, 9 Januari 2017 – Pembeli nombor pendaftaran khas kenderaan GT yang ditawarkan menerusi tender terbuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ dengan kerjasama Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), sudah boleh mula mendaftarkannya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di Wangsamaju.

Menurut Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, mulai 10 Januari 2017, pembeli nombor plat khas kenderaan GT 1 hingga GT 9999 sudah boleh mendaftarkan kenderaan mereka di kaunter JPJ Pintu 5 Wangsamaju, Kuala Lumpur sahaja.

“Suka saya maklumkan bahawa semua pembeli yang telah membuat pembelian nombor plat tersebut sudah boleh mendaftarkan kenderaan mereka mulai esok, katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Tambah beliau, pembeli yang ingin membuat pendaftaran nombor plat tersebut perlu membawa surat tawaran plat GT, resit rasmi plat GT yang dikeluarkan oleh Sekretariat Plat GT KE7B serta dokumen-dokumen lain yang berkaitan termasuk pemeriksaan Puspakom dan juga dokumen-dokumen peribadi.

Bagi mereka yang ingin membeli baki nombor plat secara terus, masih berpeluang untuk berbuat demikian dengan melayari laman sesawang www.platgt.com atau menghubungi pihak sekretariat pada waktu pejabat di talian 03-27762462, 016-9035130 (Zulaikha) dan 019-3643358 (Ismail).

Orang ramai juga boleh datang terus ke pejabat sekretariat di alamat A-3A-8, Centrio Pantai Hillpark, No. 1, Jalan Pantai Murni 59200 Kuala Lumpur.

Nombor pendaftaran GT membawa maksud “Generasi Terbilang” yang sangat sinonim dengan KE7B yang telah berjaya melahirkan 23 Ikon sukan lasak dan ekstrim sejak tahun 2009.

Bidaan nombor plat GT mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Oktober 2016 lalu dan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat dan pengumpul nombor plat kenderaan unik di negara ini.

Penjualan nombor pendaftaran khas GT diberikan hak eksklusif kepada KE7B bagi membolehkan KE7B mengumpul dana bagi menjalankan pelbagai aktiviti sukan lasak dan ekstrim bagi menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Antaranya Ekspedisi Jelajah Kutub Utara 2017 yang akan dilaksanakan pada bulan April 2017 nanti.

Tiga orang penjelajah akan menyahut cabaran ekspedisi tersebut iaitu Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusof.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.