Kiriman pada: Wed, Jan 11th, 2017

PM Dijangka Lepaskan Misi Ke Myanmar

Kongsi maklumat ini
Tags

Klang – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka melepaskan misi Food Flotilla For Myanmar dari Pelabuhan Klang pada 3 Februari depan.

Misi membabitkan pelayaran kapal kemanusiaan Nautical Aliya dengan dinaiki 200 aktivis dari lapan negara, membawa 1,000 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah Rakhine di Myanmar.

Ketua misi yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya masih menunggu kebenaran dari Myanmar untuk urusan pengagihan.

Katanya, flotila juga akan menghantar dua pasukan perintis ke Myanmar dan Bangladesh dalam masa terdekat bagi pengurusan logistik dan persediaan awal.

“Kita masih menunggu kelulusan Myanmar tapi kami akan belayar pada 3 Februari ini,” katanya selepas meninjau pusat pengumpulan barangan misi flotila di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid dan wakil dari Turkiye Diyanet Vakfi (TDV), Taskin Bumin Ayranci.

Misi anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) itu turut disokong 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ASEAN dan antarabangsa.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.