Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

PM Ikrar Soal Keselamatan Dan Kesejahteraan Rakyat Terus Jadi Tanggungjawabnya

Kongsi maklumat ini
Tags

chjdhPutrajaya – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berikrar soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan terus menjadi tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan negara atas usaha mereka memastikan tiada kejadian keganasan berlaku dalam negara pada tahun lepas.

“Jangan fikir ini berlaku dengan sendirinya tetapi ia adalah kesungguhan dan ketegasan kita.

“Inilah saya nak sebutkan soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara adalah tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri. Ia juga tanggungjawab bersama.

“Kita tidak akan lari daripada tanggungjawab kita tetapi kita dahulukan rakyat Malaysia,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Namun begitu, PM menzahirkan rasa sedih di atas pembunuhan kejam seorang rakyat Malaysia di selatan Filipina.

Pada 14 Mei, tahun lepas, jurutera elektrik, Bernard Then Ted Fen adalah antara dua mangsa yang diculik empat lelaki bersenjata dari selatan Filipina yang dipercayai dari kumpulan Abu Sayyaf di Restoran Ocean King, Sandakan, Sabah.

Pada November lalu, Then disahkan dibunuh kejam oleh kumpulan militan itu.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan pada tahun lepas, termasuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun lepas, sekali gus meningkatkan profil Malaysia di arena antarabangsa.

Beliau berkata lagi Malaysia juga dipilih sekali lagi sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Malaysia juga mencapai tahap ekonomi sebanyak 5.1 peratus pada sembilan bulan pertama tahun lalu dengan kadar inflasi yang masih rendah. Kita beranikan diri memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mengantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai usaha mengukuhkan keadaan kewangan negara supaya lebih stabil dan kukuh.

“Kita juga mendapat penarafan lebih baik dalam Forum Ekonomi Dunia iaitu daripada kalangan 144 negara di seluruh dunia kita muncul pada kedudukan ke-18, naik dari tempat ke-20,” katanya.

Selain itu, PM berkata Fitch Ratings turut mengubah prospeknya bagi Malaysia kepada stabil.

“Semua ini merupakan kejayaan yang boleh banggakan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.