Kiriman pada: Mon, Aug 31st, 2015

PM Ikrar Tidak Akan Biarkan Malaysia Jatuh

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKKuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia.

Katanya beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan yang lain akan meneruskan usaha itu walau apa pun cabaran yang mendatang serta dugaan yang melanda.

Ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib melahirkan rasa kesal atas tindakan segelintir pihak yang yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan serta api permusuhan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.

“Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri, merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini.

“Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu sahaja,” katanya.

Ini merupakan kali kedua Najib menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu seperti amalan biasa. Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini.

Majlis itu dikelolakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.

Perdana Menteri turut mengajak para hadirin merenung dan menghayati sedalam-dalamnya erti kemerdekaan, serta jasa bakti para parajurit dan anggota keselamatan yang telah berkorban bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.