Kiriman pada: Wed, Feb 24th, 2016

PM – JKMPKA, Mekanisme Tingkatkan Persefahaman, Keharmonian Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI DR. MOHD SALLEH TUN SAID KERUAKPutrajaya – Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) ditubuhkan untuk meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya memerlukan satu mekanisme untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya timbul masalah dan konflik berhubung agama.

“Kami perlu cari penyelesaian yang adil dan saksama. Akan terdapat masalah dan cabaran kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, dan kita perlu berdepan dengan sikap positif,” katanya pada majlis penyampaian watikah pelantikan kepada 32 anggota JKMPKA 2016-2017.

Pelantikan anggota JKMPKA berkenaan yang terdiri daripada ketua agama, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agama dan sosial dan belia berkuat kuasa pada 1 Jan tahun ini hingga 31 Dis 2017.

Ditubuhkan pada 2010, usaha JKMPKA tertumpu kepada meningkatkan kefahaman terhadap pelbagai agama, membincangkan isu yang boleh menggugat keharmonian agama dan ketenteraman masyarakat, mencadangkan dasar kerajaan yang berteraskan nilai agama dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan bersama kerajaan.

Datuk Seri Najib berkata: “Saya yakin rakyat Malaysia akan terus hidup dalam aman dan harmoni. Saya bergantung pada anda semua untuk memainkan peranan anda untuk mencapai matlamat murni ini. Kita semua mahukan keamanan dan keharmonian dan kita mahu Malaysia mencapai kejayaan.”

Beliau berkata kejayaan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada umumnya melalui detik-detik dalam perjalanan membina sebuah negara bangsa dengan jayanya tanpa berlaku konflik yang boleh meruntuhkan negara.

“Ini merupakan perjalanan berterusan untuk memperkukuhkan teras dan corak masyarakat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Usaha ini perlu dilakukan secara sedar kerana ia tidak boleh dibiarkan berlaku secara sendirinya.

“Ia perlu dilakukan secara formal dan keinstitusian, dirancang dengan baik, selaras dan menerusi usaha bersepadu untuk memperkukuhkan perpaduan negara.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.