Kiriman pada: Wed, Dec 23rd, 2015

PM, Kerajaan Dipuji Berjaya Lakukan Proses Membawa Balik Mangsa Tragedi Bas Chiang Mai Lancar

Kongsi maklumat ini
Tags

JB01_231215_MAYAT SAMPAIBatu Pahat – Kerajaan dipuji atas usaha mengendalikan persediaan dan proses membawa balik jasad 13 mangsa kemalangan bas di Chiang Mai berjalan lancar, terutamanya yang membabitkan keluarga mangsa.

Pengurus besar Chiu Travel Sdn Bhd Terence Yung menyampaikan rasa terima kasih terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kerana menjadikan seluruh proses persediaan “lancar dan bebas masalah” terutama kepada keluarga mangsa.

“Saya ingin nyatakan bahawa mereka sangat, sangat cekap. Setiap jabatan (terlibat) bekerja bergandingan.

Mereka juga bekerjasama dengan baik. Mereka sangat efisien, sangat membantu, sangat prihatin dan mengutamakan susun atur yang menjadikan ia lancar dan bebas masalah,” katanya kepada pemberita di Rumah Urus Mayat Persatuan Koon Yew hari ini.

Yung turut kehilangan anggota keluarga dalam nahas tersebut iaitu Png Eee Ting, 23, yang merupakan ketua rombongan, berkata sikap bertimbang rasa Perdana Menteri dan tindakan pantas kerajaan telah melancarkan proses persediaan membawa balik jasad mangsa.

“Saya terkejut (dengan tindak balas pantas Najib) tetapi memandangkan ini merupakan tragedi besar, amat baik bagi Perdana Menteri menawarkan bantuan, jika tidak mereka (jasad mangsa) tidak dapat dibawa pulang hari ini,” katanya.

Yung yang kelihatan sedih dan letih tiba dari lapangan terbang Subang pagi ini bersama 13 jasad mangsa kemalangan bas Chiang Mai.

Dua pesawat tentera tiba di pangkalan udara Subang pada pukul 3.32 dan 3.38 pagi membawa 13 keranda dan seorang penumpang yang cedera, Lee Siew Kim, 61, yang kemudiannya dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan lanjut.

Lapan lagi penumpang yang cedera, lima daripadanya parah masih dirawat di sebuah hospital di Chiang Mai.

“Ada yang mengalami kecederaan serius membabitkan kecederaan leher, patah tulang rusuk dan anggota badan yang memerlukan mereka menjalani pembedahan. Malah ada yang perlu dibedah dua kali.

“Walaupun kecederaan mereka tidak mengancam nyawa, keadaan mereka masih tidak baik,” kata Yung sambil menambah, adiknya, Melissa masih terus berada di Chiang Mai bagi membantu keluarga mangsa serta melaporkan perkembangan terbaru mangsa yang masih di sana.

Sementara itu mengenai Siew Kim beliau berkata, keadaannya sudah stabil.

Pada Ahad lalu 13 orang terbunuh selepas bas yang membawa 22 pelancong Malaysia terbabas selepas terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah pikap pada pukul 11.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) ketika dalam perjalanan dari Chiang Rai ke Chiang Mai.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.