Kiriman pada: Sat, Aug 1st, 2015

PM Mahu Cadang Semula Agar Parti Politik Dedah Sumber Dana

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAKSeremban – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mencadangkan semula pengwujudan peraturan yang menghendaki parti politik mendedahkan senarai punca dana politik yang diterima mereka.

Perdana Menteri berkata cadangan peraturan itu yang bertujuan memastikan parti politik lebih telus sebelum ini telah dikemukakan namun ditolak DAP.

“Memang presiden parti boleh cari wang (dana) untuk parti. Saya boleh terangkan (punca dana UMNO) dengan syarat pembangkang pun terangkan punca kewangan mereka.

“DAP perlu terangkan, PKR perlu terangkan daripada mana mereka dapat (dana). Saya boleh terangkan kalau mereka terangkan…sama-sama kita terangkan barulah adil,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Paroi.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau sering ‘diserang’ pembangkang berhubung punca dana UMNO, namun pihak tersebut sendiri enggan mendedahkan punca dana mereka.

Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP yang menolak cadangan itu sebelum ini: “DAP yang tidak bersetuju. Kenapa? ada muslihat? Bila tidak setuju apa sebenarnya punca?”.

Cadangan mewujudkan peraturan itu sebelum ini dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam kenyataan berkata, DAP antara parti paling awal membantah cadangan itu kerana bimbang ia akan merugikan parti itu.

Abdul Rahman berkata semasa SPRM mula-mula mencadangkan perubahan dari segi pembiayaan politik, Najib merupakan pemimpin politik pertama yang menyokong idea itu dan mahukan ia dilaksanakan serta dimasukkan ke dalam inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.