Kiriman pada: Thu, Jul 2nd, 2015

PM Mahu MAIWP Sedia Guru Akademik Di Sekolah Tahfiz Persendirian

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKSerdang – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperluaskan fungsi bantuan sedia ada dengan menyediakan guru akademik kepada sekolah-sekolah tahfiz persendirian di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata sekolah berkenaan perlu dibantu kerana difahamkan masalah kewangan merupakan antara sebab pusat pengajian agama itu tidak dapat menyediakan guru untuk pembelajaran akademik.

Katanya beliau telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Pengerusi MAIWP agar MAIWP membantu menyediakan guru akademik bagi membolehkan pelajar-pelajar tahfiz turut diajar ilmu lain selain ilmu agama.

“Saya kata elok MAIWP sediakan guru-guru akademik untuk sekolah tahfiz sebab budak-budak ini sememangnya pandai.

“Kalau mereka boleh hafal al-Quran mereka juga boleh jadi ahli sains dan profesional lain yang hebat,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada asnaf Baitulmal MAIWP di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Najib berkata selain pembinaan akidah dan akhlak dalam kalangan pelajar, pengajaran akademik juga penting kerana ilmu itu juga merupakan antara tonggak dalam membantu membangunkan kekuatan umat Islam.

Perdana menteri berkata dengan penyediaan pelbagai bidang ilmu, pelajar-pelajar tahfiz akan menjadi lebih cemerlang dalam kerjaya sekali gus dapat terus membantu umat Islam yang lain menerusi zakat yang dikeluarkan.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan sumbangan Aidilfitri MAIWP berjumlah RM18.27 juta kepada 53,800 asnaf fakir, miskin dan muallaf di Wilayah Persekutuan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.